KUALA LANGAT -Hujan berterusan mengakibatkan dua keluarga antara penduduk Kampung Sungai Nangka, Banting terjejas akibat banjir malam ini.
Keadaan itu ekoran kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.6 meter sejak petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama sebuah jentera serta bot dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 7.30 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati paras air setinggi dua kaki (0.6 meter) dan menunjukkan trend peningkatan.
“Dua keluarga yang terjejas banjir sudah dipindahkan ke Dewan Orang Ramai Sri Langat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Norazam, pihaknya menasihatkan penduduk lain di kampung itu turut berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.
“Kita masih menjalankan pemantauan secara berterusan di sekitar kampung tersebut,” katanya. -K!ONLINE