PETALING JAYA – Jemaah umrah berharap kerajaan akan membuat pusingan U berhubung penangguhan kebenaran perjalanan ke Tanah Suci bermula 8 Januari ini.
Seorang pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Naim, 38 berkata, dia berharap hasratnya untuk menunaikan umrah akan menjadi kenyataan.
“Saya harap kerajaan perhalusi dan buat pusingan U. Jika Arab Saudi menutup pintunya, kami faham, tetapi ia tidak. Saya sepatutnya berangkat menunaikan umrah pada 13 Januari ini.
“Sudah dua tahun menunggu dan telah ambil cuti kerja dari 11 hingga 26 Januari ini. Selain itu, saya telah mengeluarkan modal kira-kira RM10,000. Mata wang juga telah ditukar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Naim berkata, dia juga telah mengambil dos penggalak dan sangat bersedia untuk mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) menunaikan umrah.
“Tidak mungkin agensi (umrah) boleh pulangkan duit kami sebab mereka sudah bayar tiket, kos penginapan dan sebagainya. Mungkin kami yang terpaksa menanggung kerugian itu,” ujarnya.
Di George Town, seorang lagi bakal jemaah umrah, Norita Ismail, 53, pula berharap agar keputusan penangguhan tersebut hanyalah bersifat sementara dan tidak berlarutan sehingga berbulan-bulan lamanya.
“Siapa yang tidak bersedih apabila mendapat tahu penangguhan ini berlaku dalam tempoh singkat, malah kami terkejut.
“Saya boleh menerima hakikat keputusan ini dibuat susulan peningkatan kes penularan varian Omicron dalam kalangan jemaah, namun harap keputusan penangguhan itu tidak terlalu lama,” ujarnya