JOHOR BAHRU – Bekas Ketua Polis, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengingatkan supaya Kontinjen Johor terus berpegang kepada aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah sepanjang menjalankan tugas.
Berkongsi pengalamannya selama 22 bulan bergelar Ketua Polis Johor, Ayob Khan akui menempuh pelbagai onak duri melaksanakan tanggungjawab sepanjang memegang jawatan tersebut.
Beliau berkata, semua pihak perlu sentiasa memastikan penyeliaan integriti dan penyampaian perkhidmatan sentiasa diperkemaskan dari masa ke semasa untuk diberikan dan dipamerkan terbaik kepada masyarakat.
“Sejak dari awal menerajui polis di negeri ini, saya sentiasa menekankan aspek integriti, amanah, tegas, adil dan berhemah biarpun kita mungkin akan ditohmah, dikecam, dikritik mahupun diugut.
“Tiada sebarang tolak ansur terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam rasuah, salah laku, bersekongkol jenayah, dadah mahupun penyeliaan yang tidak telus.
“Orang tidak akan mendengar apa yang kita cakap, tetapi orang akan melihat apa kita buat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan di sini hari ini.
Ayob Khan hari ini mengucapkan selamat tinggal kepada Polis Kontinjen Johor apabila bakal mengetuai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai pengarah jabatan itu.
Jawatan Ketua Polis Johor itu akan dipangku oleh Timbalannya, Datuk Khaw Kok Chin selama dua minggu sebelum disandang oleh Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan.-K! ONLINE