KUALA PILAH – Seramai 55 orang mangsa banjir di daerah ini telah ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) sejak awal pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd. Faizal Abdul Manap berkata, pihaknya telah menerima laporan penempatan mangsa banjir bermula pukul 12.30 tengah malam.
“Terdapat kejadian banjir di beberapa lokasi berpunca limpahan air Sungai Muar di Kampung Berembang yang menunjukkan bacaan meningkat dalam keadaan amaran dan jika hujan berterusan ke arah bahaya.
“Setakat pagi ini, seramai 55 mangsa telah dipindahkan ke dua lokasi PPS di daerah ini iaitu di Dewan Besar Dangi dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pilah hari ini.
“Mangsa yang terjejas dari Rumah Rakyat Kuala Johol, Kampung Changgang dan Kampung Air Taling ” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, pekan Kuala Pilah berhadapan restoran makanan segera, KFC didapati berlaku limpahan air dari longkang berdekatan yang tersumbat akibat sampah sarap.
“Saya juga dimaklumkan, terdapat sebuah kereta Perodua Viva dan lori telah terperangkap. Bagaimanapun, lori jengkaut saya telah dihantar bagi membersihkan laluan berkenaan.
“Selain itu, beberapa jalan di Kuala Pilah dan Johol ada yang telah dinaiki air antaranya di Jalan Kepis-Dangi dan telah mula ditutup,” katanya. -K! ONLINE