SELAMAT Tahun Baharu 2022 kepada seluruh warga Malaysia. Tahun yang bakal menjanjikan seribu satu kisah dan kejutan buat lebih 32 juta rakyat negara ini.
Selain kehidupan sihat dan peluang mencari rezeki yang luas, banyak lagi perkara yang kita harapkan daripada sebuah kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ini termasuklah sistem ekonomi yang teratur, aspek keselamatan yang terjamin, kebebasan bersosial dan tahap penyampaian kerajaan yang telus serta lebih sistematik.
Seperkara lagi yang pastinya diharapkan oleh rakyat negara ini adalah budaya berpolitik matang dalam kalangan orang-orang politik dan konco-konconya.
Pada ketika negara berdepan pelbagai dugaan, baik dari segi penularan Covid-19 yang belum ada kesudahan, sehinggalah kepada musibah alam yang teruk, rakyat hanya memerlukan sebuah pemerintahan yang berlandaskan ‘kerajaan jaga rakyat’.
Cukuplah tahun 2021 menjadi saksi betapa kecelaruan politik telah memberi kesan kepada sistem perjalanan pentadbiran negara. Kesannya bukan hanya kepada Yang Berhormat apabila kehilangan kuasa, tetapi juga kepada rakyat yang memberi kuasa.
Rakyat seolah-olah disajikan pelbagai episod drama tanpa kesudahan dengan watak-watak politiknya adalah orang yang sama. Satu demi satu krisis dicipta kononnya atas rasa tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat.
Di sebalik kesempitan hidup dan tekanan jiwa yang dialami, rakyat juga sering kali menjadi mangsa. Dipersalahkan atas kegagalan pelbagai dasar-dasar pemerintah yang bertukar sekelip mata.
Musibah banjir yang berlaku baru-baru ini cukup memberi pengajaran buat kita semua, khususnya kepada agensi kerajaan dan mereka yang membuat dasar.
Banyak perkara yang perlu dilakukan dan diputuskan oleh kerajaan bagi mengelak kejadian buruk berulang sekali lagi. Ia bukan semata-mata mengenai tahap kesiapsiagaan pelbagai agensi, tetapi lebih kepada pengurusan bencana yang lebih mesra rakyat.
Pengurusan bencana ini tidak memerlukan Yang Berhormat atau Menteri turun padang semata-mata untuk membersihkan lantai dan lumpur, ataupun datang dengan rombongan berpuluh-puluh kenderaan.
Rakyat tidak memerlukan semua itu, tetapi apa yang diperlukan adalah bagaimana Yang Berhormat melayan setiap isu berbangkit dengan pantas dan berkesan. Rakyat mahu kebajikan mangsa bencana diadili sama rata tanpa memilih bulu, dan setiap keluhan didengari tanpa ada birokrasi.
Tidak salah untuk menunjukkan kebaikan, tetapi cukuplah berpada-pada. Yakinlah Yang Berhormat, setiap usaha yang dilakukan dengan cara betul dan ikhlas, ia akan sampai dan diterima oleh rakyat.
Tidak perlu menukar watak, walaupun rakyat tahu ramai ‘pelakon’ baharu bakal muncul dalam kalangan Yang Berhormat pada tahun ini, terutama menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. -K! ONLINE