PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) menafikan laporan yang mendakwa perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia sedia meninggalkan persatuan itu dan bergerak secara profesional.
Desas-desus mengenai kemungkinan pemain berusia 23 tahun itu keluar daripada BAM tercetus apabila timbul spekulasi ada pihak sedia memberi tajaan sebanyak RM4 juta bagi membiayai karier profesionalnya.
Bagaimanapun, badan induk sukan badminton kebangsaan itu tampil menafikan perkara tersebut selepas merujuk perkara berkenaan kepada Zii Jia sendiri yang tidak tahu menahu mengenai spekulasi itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menjelaskan, pemain yang berada pada ranking ketujuh dunia itu kini berada dalam persediaan terbaik untuk memburu tempat ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
“Saya sudah bercakap dengan Zii Jia berhubung perkara ini. Apa yang pasti, Zii Jia langsung tidak tahu menahu mengenai khabar angin yang mendakwa dia mahu keluar daripada BAM.
“Semangat serta visinya masih sama sebagai seorang pemain No.1 negara. Fokus Zii Jia tidak terganggu dan dia sentiasa meletakkan temasya Sukan Olimpik Paris 2024 sebagai keutamaan,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, kekuatan mental dan fizikal pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu dipersoal selepas dia menarik diri daripada beberapa kejohanan apabila dilaporkan tidak cergas dan mengalami kecederaan.
Selepas memenangi kejohanan Seluruh England (All England) di Birmingham Mac lalu, prestasi Zii Jia dilihat sedikit terganggu apabila terpaksa berehat lama gara-gara kes Covid-19 yang naik mendadak.