MANCHESTER – Manchester United dilaporkan sudah menyediakan pelan kontingensi sebagai persediaan mereka untuk kehilangan khidmat Edinson Cavani pada Januari ini dengan menamakan penyerang sasarannya.
United berminat untuk cuba mendapatkan penyerang Paris Saint-Germain, Mauro Icardi selepas Cavani dikaitakan dengan perpindahan ke Barcelona dan sudah menyatakan pendirian untuk meninggalkan Old Trafford.
Laporan dari Itali sebelum ini menyebut Icardi berdepan masalah untuk menyesuaikan diri di Paris selain dia juga bukanlah menjadi pemain pilihan utama dalam skuad PSG selepas kehadiran Lionel Messi.
Messi, Neymar dan Kylian Mbappe sentiasa menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Mauricio Pochettino dan Icardi sangat jarang untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan hanya masuk sebagai pemain gantian.
Situasi itu juga kurang menyenangkan Icardi yang bersedia untuk mencari pasukan yang mampu memberinya peluang untuk lebih banyak diturunkan.
Bagaimanapun, United tidak bersendirian untuk memburu khidmat penyerang Argentina berusia 28 tahun ini apabila Juventus juga turut mengintai peluang untuk memujuknya ke Turin.
Sebarang keputusan mengenai pemergian Cavani hanya bergantung kepada Pengurus United, Ralf Rangnick yang dikatakan akan melepaskannya jika kelab itu berjaya mendapat pengganti yang sesuai. – AGENSI