LONDON – Pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menyifatkan pasukannya menjadi mangsa kepada keputusan berat sebelah pengadil ketika terikat 1-1 dengan Brighton awal pagi semalam.
Bekas pengurus Paris Saint-Germain itu menganggap pengadil perlawanan telah tersilap dalam membuat keputusan sehingga pasukannya terpaksa menanggung kekecewaan pada aksi berkenaan.
Tuchel merujuk insiden melibatkan Christian Pulisic yang dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Joel Veltman pada awal babak kedua tetapi pengadil enggan memberikan mereka sepakan penalti.
“Kami memiliki peluang terbaik untuk ‘membunuh’ perlawanan ini selepas mendahului pada babak pertama. Ia cukup mengecewakan kerana kami sudah berikan segala-galanya.
“Kami berdepan dengan keputusan ‘mengerikan’ daripada pengadil. Saya fikir ia jelas adalah penalti tetapi pengadil bertindak sebaliknya, malah enggan untuk merujuk Video Bantuan Pengadil untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai insiden itu,” kata Tuchel.
Keputusan seri itu memberi tamparan buat Chelsea ketika Tuchel turut mengakui yang pemainnya kini berdepan keletihan.
Selepas kehilangan ramai pemain ekoran jangkitan Covid-19, pengurus itu juga berdepan dengan isu kecederaan Reece James dan Andreas Christensen.
“Kami perlu lakukan dua lagi perubahan kerana masalah kecederaan. Malah, semua orang di bilik persalinan juga kini mula keletihan,” jelasnya.
– AGENSI