BACHOK – Polis meminta pemilik sebuah tongkang yang dipercayai hanyut sebelum tersadai di Pantai Melawi di sini agar segera tampil membuat laporan untuk menuntut semula perahu mengangkut barangan itu.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Muhammad Ismail Jamaluddin berkata, tongkang itu dijumpai oleh anggota pasukan pemantau Ops Covid-19 (Bravo 8), Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok semasa menjalankan rondaan pusat peranginan di kawasan pantai itu kira-kira pukul 5.30 petang.
Menurutnya, tongkang berukuran 100 meter panjang dengan ketinggian lapan meter itu tersadai berhampiran Chalet Sri Perkasa di sini dipercayai akibat terputus tali sauh semasa laut bergelora.
“Setakat ini, masih belum ada sebarang laporan diterima berkaitan kehilangan tongkang itu. Polis sedang mengesan pemilik tongkang berkenaan termasuk menyemak butiran berkaitan dengan Jabatan Laut Malaysia.
“Terdapat tulisan MMS 009 SC 4726 pada badan tongkang berkenaan yang boleh menjadi asas atau bukti kepada pemilikannya sama ada syarikat atau milik persendirian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Ismail berkata, berdasarkan keterangan pengusaha chalet itu, tongkang berkenaan didapati tersadai di kawasan Pantai Melawi pada pukul 8 pagi semalam.
Ujarnya, polis juga sedang menyemak laporan dari ibu pejabat polis daerah berhampiran Bachok untuk mengesan syarikat atau pemilik persendirian yang kehilangan tongkang ketika ini. – K! ONLINE