JELI – Seorang ibu tunggal tetap memikirkan keadaan ibunya yang sudah nyanyuk dan adik perempuan yang menghidap barah payu dara semasa rumah mereka di Kampung Ayer Lanas di sini dinaiki air malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Zizah Ahmad, 70, meredah air paras pinggang bersama ibunya, Bidah Konok, 92, dan adiknya, Halimah Ahmad, 59, bersama suami, Anwar Hussin yang menghidap angin ahmar.
Menurut Zizah, dia perlu memikirkan keadaan tiga ahli keluarganya yang sakit kronik kerana bimbang mereka terkorban dalam banjir meskipun melaluinya hampir setiap tahun.
Katanya, saya terus mengeluarkan mereka bertiga sebelum terus pergi ke pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas di sini yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.
“Saya memang tidak lena tidur pada malam itu sebelum melihat air mula memasuki rumah kami. Saya terus mengeluarkan ibu, adik dan adik ipar agar dapat menyelamatkan mereka terlebih dahulu.
“Air masuk ke kawasan rumah amat cepat selepas paras air di sungai berhampiran meningkat ketika itu. Nasib baik PPS terletak tidak jauh dari rumah kami,” katanya ketika ditemui pemberita di PPS SMK Ayer Lanas di sini hari ini.
Menurut Zizah, rumah yang menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga merupakan rumah pusaka dan melalui situasi banjir hampir setiap tahun.-K! ONLINE