fbpx

Proton tambah diskaun alat ganti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mekanik Proton dilatih supaya mematuhi prosedur operasi standard ketat ketika menyelenggara dan membaik pulih kenderaan pelanggan, terutamanya yang terjejas akibat bencana banjir. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Setelah mengambil kira skala kerosakan akibat banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Semenanjung baru-baru ini, jenama automotif nasional, Proton me­ng­umumkan pakej bantuan pe­langgan yang dipertingkatkan bagi meringankan beban kewa­ngan mangsa.

Pakej bantuan baharu itu me­libatkan diskaun sebanyak 50 pe­ratus bagi alat ganti terpilih untuk semua model, kecuali model kenderaan utiliti sports (SUV) Proton X50 & Proton X70, selain servis tunda serta pembersihan luar dan ruang enjin secara percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib mangsa banjir baru-baru ini, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan daripada mereka merupakan golongan B40.

“Sehingga kini, lebih kurang 600 kenderaan telah diterima oleh pusat servis Proton dan kami menjangkakan banyak lagi unit yang terjejas akibat banjir akan tiba pada hari dan minggu akan datang.

“Oleh itu, pihak syarikat telah mengambil keputusan untuk meningkatkan lagi pakej bantuan untuk meringankan beban kewangan mereka,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan semalam.

Bagi pemilik Proton X50 dan Proton X70, diskaun untuk alat ganti terpilih dinaikkan kepada 25 peratus berbanding 20 peratus yang telah diumumkan sebelum ini, manakala diskaun sebanyak 25 peratus turut diberikan bagi caj buruh untuk semua model.

Tawaran bantuan ini boleh didapati di pengedar 3S/4S Proton terpilih, tertakluk kepada terma dan syarat. Sebagai tambahan, pelanggan yang diinsuranskan bawah Program Insurans Proton layak menerima bayaran bantuan banjir sebanyak RM1,000.

Menurut Roslan, selain daripada pakej bantuan, Proton juga akan berunding dengan pihak bank untuk membenarkan pe­langgannya membuat bayaran secara ansuran melalui kad kredit bagi pembayaran bil.

“Kemudahan ini bermakna mereka tidak akan dikenakan bayaran faedah serta tidak perlu membuat bayaran penuh secara sekali gus,” tambahnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI