SHAH ALAM – Seorang penjual burger menitiskan air mata kesyukuran apabila dilepas dan dibebaskan daripada tali gantung buat kali kedua atas tuduhan membunuh dua individu, enam tahun lalu oleh Mahkamah Tinggi, hari ini.
Hakim Datuk Abd. Halim Aman memutuskan demikian selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan terhadap dua pertuduhan dihadapi Muhammad Hafiz Saifuddin,32.
Dalam penghakimannya, Abdul Halim menjelaskan keterangan dilakukan tertuduh di kandang saksi dan disokong bapanya yang juga tampil sebagai saksi adalah tidak terjumlah kepada penafian sebalik berkredbiliti.
“Selain itu, ketiadaan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada pakaian kedua-dua si mati, kelemahan siasatan oleh pegawai penyiasat dan rakaman televisysen litar tertutup yang tidak membantu kepada pengecaman.
“Mahkamah juga mendapati tiada bukti wujud elemen niat bersama (membunuh dengan seorang lagi tertuduh). Justeru, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh,” tegasnya
Sejurus itu, tertuduh kemudiannya didapati memeluk ibu bapanya dalam galeri mahkamah.
Untuk rekod, Muhammad Hafiz dan rakannya dilepas dan dibebaskan oleh mahkamah sama pada 24 Jun 2018 selepas pihak pendakwaan yang mengemukakan 26 saksi pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam prosiding bermula 16 Mei 2016.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 18 November lalu memutuskan terdapat unsur prima facie dengan tertuduh diarahkan menjalani prosiding pembelaan kes di hadapan Abd. Halim.
Prosiding tersebut kemudiannya dijalankan pada 16 Disember lalu.
Berdasarkan dua pertuduhan dihadapi Muhammad Hafiz adalah didakwa bersama rakannya dan dua orang lagi dengan mencapai niat bersama bagi membunuh seorang lelaki warga Indonesia, Lukmanul Hakim Sudahnan dan wanita warga tempatan dikenali Norlia Alias berusia 46 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di tangga premis sebuah pusat karoake dan hadapan sebuah premis lain di Bangunan Perniagaan Sunway Mentari, Sg. Way, Petaling Jaya antara pukul 1 hingga 1.25 pagi pada 25 Mac 2015.
Sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati mengikuti Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norhana Saat manakala tertuduh diwakili Peguam Shah Rizal Abdul Manan dan Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri. – K! ONLINE