JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri telah meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor untuk memantau lokasi-lokasi tanah cerun yang terdapat di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan tiada kejadian tanah runtuh berlaku dalam tempoh musim tengkujuh akan datang.
“Tanah cerun yang terdapat di sepanjang jalan-jalan utama termasuklah di Lebuh Raya Utara-Selatan dan jalan negeri di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Agensi berkenaan mempunyai unit khusus yang memberi tumpuan kepada tanah-tanah cerun berkenaan.
“Manakala bagi tanah cerun yang terdapat di kawasan kediaman atau perindustrian, ia adalah di bawah bidang kuasa PBT,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah beliau, pihaknya turut menggesa jabatan terlibat agar segera melakukan kerja-kerja pemulihan cerun-cerun yang kritikal agar tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
“Keselamatan dan kesejahteraan awam adalah menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam tempoh negeri ini sedang berdepan musim tengkujuh yang mungkin menyebabkan berlakunya banjir dan tanah runtuh,” ujarnya.
Semalam, JKR dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) telah mengeluarkan peringatan kepada pihak berkuasa agar bersedia berdepan kemungkinan kejadian tanah runtuh akibat musim hujan ketika ini.
JMG memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti 122 tanah cerun berisiko tinggi berlakunya kejadian tanah runtuh dengan negeri Perak mencatat 18 lokasi, diikuti Selangor dengan 15 lokasi, manakala Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak masing-masing 12 lokasi.
Negeri lain termasuklah Pulau Pinang dengan 11 lokasi, diikuti Johor dan Kelantan dengan 10 lokasi, manakala Kedah dan Pahang dengan 6 lokasi serta dua lokasi di Melaka dan satu di Perlis.
Antara lokasi yang dikenal pasti di Johor adalah di Taman Saujana Jementah di Segamat, kawasan perindustrian sepanjang Jalan Yong Peng-Sri Medan di Batu Pahat, kilang Munchy’s di Sri Medan dan Kampung Masjid Taman Gunung Lambak di Kluang.
Lokasi lain termasuklah Taman Impian Kluang, Kompleks Mahkamah Syariah Kluang, Felda Semenchu, Jalan Gunung Panti, Bukit Pelali di Kota Tinggi dan Jalan Bukit Kempas, Johor Bahru. -K! ONLINE