LUMUT – Penemuan empat mayat terapung di perairan dekat Pulau Jarak pagi tadi mungkin ada kaitan dengan laporan sebuah bot dilihat tenggelam di perairan Sekinchan, Selangor, pada 25 Disember lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang lelaki dan tiga perempuan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.
“Kemungkinan besar mayat yang telah dijumpai ini adalah berkaitan dengan satu laporan polis di Sekinchan bertarikh 27 Disember.
“Pengadu memaklumkan menerima panggilan telefon daripada pekerjanya ternampak sebuah bot dinaiki lebih 20 orang individu tenggelam di perairan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurut beliau, empat mayat tersebut telah dihantar ke unit forensik Hospital Seri Manjung (HSM) untuk bedah siasat esok selepas saringan Covid-19 dijalankan.
Jelasnya, penemuan empat mayat itu dilaporkan kepada pihak polis pada pukul 4.58 petang tadi dan kesemua mayat dibawa ke jeti oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Kosmo! Online hari ini melaporkan, empat mayat terdiri tiga wanita dan seorang lelaki ditemui terapung, pagi tadi. -K! ONLINE