WASHINGTON – Bilionair, Elon Musk menegaskan bahawa manusia perlu menjalani kehidupan di beberapa buah planet bagi menjamin kelangsungan hidup sekiranya berlaku sebarang malapetaka yang memusnahkan Bumi, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menerusi rancangan podcast oleh Lex Fridman, pengasas syarikat penerokaan angkasa lepas, SpaceX itu menganggarkan bahawa manusia akan mendarat di Marikh dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
“Kita tidak mahu hanya meninggalkan kesan tapak kaki dan bendera di Marikh seperti yang dilakukan di Bulan, tetapi kita perlu tinggal di planet tersebut.
“Bumi mungkin mengalami beberapa malapetaka, sama ada sesuatu yang manusia lakukan sendiri atau peristiwa luaran seperti yang berlaku kepada dinosaur,” jelasnya.
Tambah Musk, manusia kini berlumba dengan masa, disebabkan Matahari terus memanaskan Bumi pada suhu yang sukar dikawal.
“Mungkin Bumi akan menjadi terlalu panas untuk kehidupan manusia dalam masa kira-kira 500 juta tahun akan datang. Ia adalah satu tempoh masa yang lama, namun hanya 10 peratus lebih lama daripada kewujudan Bumi,” jelasnya.
Musk dikenali sebagai peminat tegar bidang penerokaan angkasa lepas dengan SpaceX baru-baru ini melancarkan roket yang membawa kru bukan angkasawan profesional pertama yang ‘melancong’ ke angkasa. – AGENSI