KUANTAN – Meskipun kegiatan perlombongan emas dilakukan secara berterusan sejak sekian lama, namun sumber galian berharga itu masih banyak terdapat di negara ini terutama di Pahang yang terletak di kawasan jalur-jalur emas.
Berdasarkan laporan tahunan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia 2020, simpanan sumber mineral di Malaysia bernilai hampir RM4.11 trilion.
Galian berharga itu terdiri daripada mineral berlogam termasuk emas dan bauksit bernilai RM1.03 trilion, mineral bukan logam (RM2.96 trilion) dan mineral tenaga (RM0.12 trilion).
Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar berkata, mengikut rekod eksplorasi Jabatan Mineral dan Geosains terdapat banyak kawasan berpotensi sumber emas yang dikenal pasti melalui tinjauan awal pihak berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, ia memerlukan kajian susulan serta terperinci untuk penilaian sebenar nilai ekonomi sumber galian berkenaan.
“Ahli geologi telah bersepakat bahawa galian emas di Semenanjung terbentuk dalam empat jalur emas yang merentasi arah utara hingga selatan Semenanjung mengikut aktiviti tektonik lampau,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Abd. Rasid memberitahu, Jalur Emas 1 dan Jalur Emas 2 wujud di dalam Zon Sutura Bentong-Raub, manakala Jalur Emas 3 pula berada di dalam Zon Sesar Lebir-Lepar.
Katanya, antara lombong emas yang popular di Jalur Emas 2 ialah Penjom, Raub dan Selinsing, manakala Mengapur dan Chini pula berada di kawasan Jalur Emas 3.
“Jalur Emas 4 yang masih belum dilakukan kajian intensif masih lagi menjadi misteri walaupun aktiviti perlombongan di Lubuk Mandi dan gold rush di Mersing, Johor telah berlaku lebih kurang 10 tahun dahulu,” ujarnya.
Menurutnya, kerja-kerja eksplorasi sumber emas di Malaysia terutamanya di Pahang masih berjalan dari semasa ke semasa.
Ujarnya, secara geologinya, emas banyak berasosiasi dengan batuan volkanik bersifat bes seperti andesit banyak terdapat di jalur tengah dan timur Semenanjung.
“Bauksit yang berpunca daripada luluhawa batuan basalt pula banyak tersebar di kawasan Kuantan dan selatan Terengganu,” katanya.
Abd. Rasid berkata, Pelan Transformasi Industri Mineral Negara 2021-2030 telah dilancarkan untuk merancakkan kembali industri perlombongan negara yang suram.
Di samping itu katanya, pelan tersebut bakal menambah baik kawal selia industri yang didapati berlaku banyak kelemahan serta ketirisan pendapatan kepada negara.
Pada Februari lalu, Kosmo! melaporkan mengenai kewujudan emas di kawasan Mukim Kechau di Lipis, Pahang meliputi enam kampung yang menyaksikan penduduk hanya melakukan perlombongan di kawasan sekitar rumah mereka.
Kewujudan galian berupa emas di kawasan Mukim Kechau itu merupakan sumber paling berharga bagi penduduk setempat memandangkan ia terletak dalam jajaran dikenali sebagai Zon Sutura Bentong-Raub.
Zon Sutura Bentong-Raub terletak dalam Jajaran Emas negara yang merentasi beberapa buah negeri di Semenanjung bermula dari Thailand hingga ke Batang Melaka, Jasin.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pula dilaporkan berkata, Skim Pelombong Kecil yang diperkenalkan adalah bertujuan membantu penduduk setempat melaksanakan perlombongan di tanah milik mereka secara sah dengan pendekatan menang-menang.
Katanya, tanah adalah milik kekal pemiliknya, namun lesen mendulang adalah diperlukan sebagai instrumen mengeluarkan mineral berharga itu. -K! ONLINE