KUALA LANGAT – Seorang penternak dari Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang di sini terpaksa menanggung kerugian mencecah RM50,000 selepas kandang lembunya di tenggelami banjir dalam kejadian baru-baru ini.
Menurut Shahrizaini Karimun, 37, kejadian banjir yang berlaku 18 Disember lalu menyebabkan 10 ekor haiwan ternakannya mati.
Menceritakan ujian yang menimpanya, bapa kepada empat anak itu berkata, dia sempat mengeluarkan separuh daripada 80 ekor lembu miliknya menggunakan lori selain dipindahkan ke kandang milik rakan di Banting.
“Kejadian berlaku pada pukul 5 petang dan air banjir ketika itu sangat laju memasuki kandang ternakan saya. Dalam keadaan kelam kabut, saya gagal menyelamatkan 40 ekor lembu disebabkan kesukaran untuk memasuki kawasan berkenaan.
“Keesokan harinya, saya minta bantuan penduduk di sini untuk menaiki bot ke kawasan kandang. Sebaik sampai, luruh hati saya melihat keadaan lembu yang masih berada di kandang,” katanya di sini semalam.
Shahrizaini berkata, lembu-lembu yang tidak dapat diselamatkan itu terendam di dalam air, manakala kira-kira 20 kambing pula tidak menghadapi masalah berikutan kedudukan kandang yang lebih tinggi.
“Lebih kurang tujuh hari lembu-lembu itu terendam di dalam air dan selepas air surut, 10 daripada lembu tersebut mati. Boleh jadi haiwan itu kesejukan atau kekejangan.
“Baki lembu yang terendam serta dapat diselamatkan pula mengalami kecederaan seperti kulit mengelupas dan sakit mata,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kos kerugian yang dianggarkan itu turut melibatkan makanan dedak yang rosak akibat banjir selain mesin pemotong yang perlu dibaiki semula.
“Alhamdulillah, ada hamba Allah sudi membantu dengan memberikan mesin pemotong. Mesin ini penting untuk memotong kelapa sawit atau tumbuhan bagi makanan haiwan ternakan kerana saya tidak bergantung kepada dedak sepenuhnya kerana harganya yang mahal.
“Selain itu, pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee ada melawat kandang ternakan dan saya luahkan permasalahan dihadapi susulan kejadian ini,” ujarnya.
Menurut Shahrizaini, tiga tahun lalu, dia juga pernah berdepan ujian berat apabila kira-kira 150 lembu di kandangnya hilang dicuri pihak tidak bertanggungjawab ketika umat Islam mahu menyambut Aidiladha. -K! ONLINE