fbpx

Lelaki warga Indonesia didakwa bunuh rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
M'hd Udai Adlani (tengah) didakwa membunuh rakan senegara di Mahkamah Majistret, Shah Alam, Selangor hari ini. - FOTO: NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM – Seorang lelaki warga Indonesia berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, minggu lalu.

Tertuduh, M’hd Udai Adlani, 27, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Azhar Rezali, namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, M’hd Udai didakwa membunuh seorang lelaki dikenali Zakaria di Restoran ZN Catering, Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh pada pukul 9.35 malam, 19 Disember lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mati mandatori mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Elyza Amira Habeeb Rahman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Februari tahun hadapan.

Kosmo! pada 20 Disember lalu melaporkan seorang lelaki warga Indonesia cedera ditikam rakan senegara dalam satu pergaduhan di sebuah restoran di Medan Selera berhadapan RHB Bandar Baru Sungai Buloh sehari sebelum itu.

Dalam laporan itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 9.45 malam berhubung satu pergaduhan hingga menyebabkan mangsa ditikam.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, mangsa yang dikenali Zakaria itu ditikam dengan pisau ketika sedang menebar roti canai oleh suspek berusia 27 tahun yang juga pekerja kedai nasi lemak di situ.

Mangsa yang cedera parah telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan dan dia dilaporkan meninggal dunia empat hari kemudian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI