SEBERANG PERAI – “Setiap kali kami bercakap tentang bola sepak, mata bapa akan terbuka kerana cintanya yang tidak berbelah bahagi terhadap sukan itu biarpun sedang terlantar sakit,” ujar K. Sunther, 58, anak sulung legenda bola sepak negara, mendiang Datuk M. Kuppan.
Katanya, bapanya sentiasa bersemangat apabila bercerita mengenai arena bola sepak tempatan dan minatnya tidak pernah pudar biarpun kesihatannya semakin merosot akibat penyakit osteoarthritis yang dideritainya beberapa tahun lalu.
“Dia (mendiang) seorang bapa yang penyayang malah memiliki personaliti yang sangat positif serta sentiasa disenangi ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Bapa tak suka tunjukkan kesakitan yang dirasai dan setiap kali apabila kita tanya, dia akan kata dia sihat. Pendek kata, dia seorang yang ceria dan pemergiannya amat dirasai kami sekeluarga,” katanya kepada pemberita di kediamannya di Bagan Jermal, Butterworth di sini hari ini.
Kuppan yang dilaporkan meninggal dunia di ibu negara pada usia 85 tahun kira-kira pukul 4.50 petang semalam meninggalkan isteri, Datin G. Amirthamani dan tiga anak lelaki termasuk Sunther, K Siva Prakesh, 55 dan Siva Kumaran, 50.
Sementara itu, bekas pemain bola sepak kebangsaan era 80-an, S. Muraliraj, 50-an berkata, pemergian mendiang amat meninggalkan kesan terhadap dirinya dan Kuppan diumpamakan seorang bapa buat dirinya.
Mendiang yang terkenal dengan gelaran ‘Jetboots’ atau Harimau Bintang Pulau Pinang pernah mewakili skuad negeri ini selama 10 musim sebelum bersara pada 1967, malah menjulang Piala Malaysia sebagai jurulatih Pulau Pinang pada 1974.
Beliau juga pernah menjulang Piala Malaysia bersama Pulau Pinang pada 1958 dan pernah menyarung jersi negara selama lapan tahun bermula 1958 hingga 1965 selain membawa skuad kebangsaan menjulang Piala Raja Thai sebanyak dua tahun berturut-turut pada 1975 dan 1976. – K! ONLINE