JELI – Polis Kelantan akan menjalankan pemantauan di beberapa lokasi panas terutamanya di sekitar Kota Bharu untuk memastikan tiada sebarang penganjuran program atau majlis sambutan ambang tahun baharu malam ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, pemantauan itu dijalankan dalam usaha untuk mengelakkan aktiviti berkumpulan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurutnya, beliau telah mengarahkan semua ketua polis daerah di negeri ini termasuk bahagian trafik untuk menjalankan pemeriksaan di kawasan setempat.
“Kelantan masih dalam Fasa 3 PPN dan sebarang majlis atau sambutan tidak dibenarkan. Antara lokasi panas yang dikenal pasti sering menjadi tumpuan ramai adalah Tambatan Diraja di Kota Bharu dan Kubang kerian.
“Selain itu, polis turut memantau aktiviti kumpulan basikal lajak dan skuter eletrik pada malam ini. Jika ada pihak yang melanggar SOP, kita akan kenakan tindakan sewajarnya,”katanya selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas di sini hari ini.-K! ONLINE