JAKARTA – Pereka fesyen dan pengacara popular Indonesia, Ivan Gunawan menarik perhatian netizen selepas ‘memelihara’ dua buah anak patung yang dianggap sebagai bayi sebenar.
Gara-gara perbuatan tidak masuk akal itu, Ivan dilabel sebagai tidak siuman dan gila oleh netizen lebih-lebih lagi selepas dia memberikan nama kepada anak patung tersebut iaitu Miracle Putra Gunawan dan Marvelous Putra Gunawan.
Menerusi satu temu bual bersama pengacara terkenal, Boy William, Ivan mengakui bahawa dia sudah menganggap dua anak patung tersebut sebagai anaknya yang perlu dijaga dengan baik.
“Ini anak aku, dia lagi bobo (tidur). Pegang kepalanya kerana masih bayi. Berat bayi saya lapan kilogram,” ujar Ivan kepada Boy William.
Kata-kata itu membuatkan Boy bingung dan tertanya-tanya jika sahabat baik kepada penyanyi dangdut, Ayu Ting Ting itu sudah hilang akal (gila).
“Kamu sudah hilang akal?” soal Boy kepada Ivan.
Bagaimanapun pertanyaan tersebut dibantah oleh lelaki bertubuh besar itu apabila memberitahu bahawa dia masih sedar dan waras.
“Tidak. Saya masih lagi waras. Banyak orang kata aku mengalami tekanan. Tapi tidak.
“Dari tadi kamu kata anak saya patung, anak saya patung. Tetapi tidak! Ini adalah bayi saya!” kata pereka fesyen berusia 39 tahun itu dengan nada tegas dan serius.
Kata Ivan lagi, dia bukan gila dan masih waras untuk berfikir.
Malah dia berpendapat, seseorang yang berada dalam dunia hiburan perlu berperwatakan ‘gila’ untuk berkarya.
“Orang yang ada dalam dunia hiburan kalau tidak punyai perangai ‘gila’, kita tidak boleh menjadi seseorang yang kreatif,” jelasnya. – K! ONLINE