LONDON – Kejayaan meraih kemenangan 1-0 ke atas Brentford selain memiliki kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris dinggap belum lagi menjamin kedudukan selamat buat Manchester City.
Malah, Pengurus City, Pep Guardiola menyifatkan anak buahnya bakal berdepan dengan satu lagi tugas sukar bertemu Arsenal yang disifatkan sebagai salah satu pasukan terbaik.
Jaringan tunggal Phil Foden menghadiahkan kemenangan City ke atas Brentford, namun Guardiola masih mengakui bahawa yang Liverpool dan Chelsea masih lagi berstatus pencabar kejuaraan.
“Masih ada 54 mata yang boleh diraih. Memang tidak dijangkakan kami memiliki kelebihan lapan atau sembilan mata, namun Liverpool juga masih lagi kurang satu perlawanan.
“Tiada satu pun pasukan yang mampu untuk muncul juara pada Disember dan kami juga boleh tewas. Apa yang bermain di fikiran saya sekarang adalah Arsenal, Chelsea dan Southampton (lawan selepas ini).
“Kami akan bertemu Arsenal yang merupakan salah satu pasukan terbaik ketika ini. Saya hanya boleh ucapkan tahniah kepada pasukan tetapi kami tetap perlu fokus untuk aksi selepas ini,” kata Guardiola.
Guardiola juga menyifatkan Arsenal ketika ini adalah pasukan lebih baik berbanding apa yang dipamerkan mereka sejak empat atau lima tahun lalu.
Kemenangan ke atas Brentford adalah kemenangan ke-16 City musim ini, tetapi kejayaan itu diraih dengan cukup sukar ketika lawan mereka berjaya beraksi dengan baik.
“Apa yang mereka (Brentford) lakukan adalah cukup hebat. Kami gagal beraksi baik apabila mereka bermain seperti ini.
“Mereka memberikan tekanan dan ia menyukarkan kami untuk mengatur gerakan. Kami boleh lihat pasukan lain juga berdepan kesukaran ketika bermain di sini,” jelasnya. – AGENSI