JAKARTA – Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menjadi tumpuan netizen di Indonesia gara-gara berkongsi kisahnya yang memiliki dua buah stesen minyak pada usia muda, lapor portal berita Wolipop hari ini.
Kisah itu dikongsi oleh remaja bernama Sascha Zahra menerusi akaun TikTok miliknya, @cattybooxiu.
Sascha mengakui bahawa dia kini sedang berada di semester ketiga pengajiannya.
“Adakah anda percaya bahawa stesen minyak Pertashop ini yang berada di Ciledug, Banten milik saya? Saya merupakan pelajar semester ketiga. Saya menyimpan duit poket dan tidak membeli baju atau keluar berbelanja.
“Anda tahu modal saya membuka dua buah stesen minyak tadi berapa? Bermula daripada 1 juta rupiah (RM293.12),’’ jelasnya menerusi video di TikTok.
Tambah Sascha, sekiranya seseorang ingin membangunkan stesen minyak tersebut, kebiasaannya, modal yang diperlukan adalah beratus-ratus juta rupiah.
“Saya menjalankan usaha sama dengan pelabur lain untuk membuka Pertashop ini,” katanya.
Video itu menjadi tular dengan ramai netizen membanjiri ruangan komen.
“Dia kongsikan cara melabur dan bercakap tentang latar belakang kewangannya. Ini adalah maklumat yang sangat berguna. Terutamanya untuk kita yang ingin mula melabur,’’ tulis seorang netizen. – Agensi