fbpx

Barang mahal, pengguna tertekan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG peniaga melayan pelanggan yang sedang memilih daging di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur semalam. - FAIZ ALIF

Oleh ALWANI ZAFIRAH, ZAKI SALEH, NOOR HASLIZA NUSI, TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF, NUR ANATI JUHARI dan MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

PETALING JAYA – Bencana banjir yang melanda beberapa ne­geri mula memberi impak kepada rakyat apabila mereka kini terpaksa membeli barang keperluan harian terutama ikan, ayam, da­ging dan sayur-sayuran pada harga lebih mahal berbanding biasa.

Kenaikan harga itu antaranya berpunca daripada kekurangan bekalan bahan mentah dan pe­ningkatan kos pengangkutan apabila kebanyakan lori terpaksa melalui jalan alternatif bagi mengelak kawasan yang dinaiki banjir.

Tinjauan Kosmo! mendapati, keadaan itu menyebabkan pengguna tertekan terutamanya di kawasan terjejas bah apabila terpaksa mengeluarkan belanja yang tinggi demi mendapatkan barang keperluan.

Di Selangor, seorang peniaga di Pasar Ha­rian Selayang yang ingin dikenali sebagai Devi, 33, meluahkan keresahannya apabila perlu berdepan dengan masalah bekalan daging yang tidak mencukupi.

“Sekarang bekalan daging lembu dan kambing sangat susah nak dapat kerana tidak ada.

“Kami di sini juga tak boleh nak jual mahal, nanti pelanggan lari, harga daripada pembekal pula sangat mahal dan sentiasa naik setiap hari.

“Kalau dulu, lima tahun sekali baru harga daging naik, tapi sekarang ini setiap hari naik dalam anggaran RM2 hingga RM3,” katanya.

MUHAMMAD SHAH memotong ayam di kedainya di Pasar Besar Alor Setar, semalam.

Devi memberitahu, masalah bekalan ini telah berlarutan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan apabila negara dilanda banjir baru-baru ini masalah tersebut lebih kritikal,

Di Kuala Terengganu, seorang peniaga, Nor Hazana Harun, 38, mendakwa, antara barangan keperluan yang mengalami kenaikan harga ialah terung, ba­yam, tomato, salad dan kobis kerana didorong faktor pihak pembekal dari Cameron Highland yang terpaksa melalui jalan lain ketika musim banjir.

“Begitu juga bekalan dari Kelantan dan negara jiran, Thailand, yang turut dilanda bah.Bagaimanapun kenaikan itu tidak begitu mendadak dan saya hanya ambil untung RM1 daripada harga modal bagi setiap jenis sayur,” katanya.

Dalam pada itu di Kedah, seorang peniaga, Muhammad Shah Rizal, 40, mendedahkan dia ha­nya mendapat keuntungan RM1 bagi sekilo ayam kerana bahan mentah itu diperoleh pada harga tinggi daripada pembekal.

“Keuntungan seperti ini agak membebankan bagi menanggung kos lain,” katanya ketika ditemui di kedainya di Pasar Besar Alor Setar semalam.

Bagi peniaga runcit, Mohd Fauzi Sharip, apa yang menjadi masalah adalah bekalan minyak masak peket yang sudah seminggu tidak mendapat bekalan.

“Kami dimaklumkan bekalan akan sampai pada 4 Januari ini dan pengguna sanggup membayar RM2.70 sepeket berban­ding RM2.50 untuk mendapatkan minyak tersebut,” katanya.

Sementara itu di Perak, seorang suri rumah, Arbakyah Salim, 31, memberitahu, antara sayur yang mahal ialah kacang panjang iaitu RM8 sekilogram berbanding sebelumnya RM7, kacang buncis (RM11, sebelumnya RM9), kangkung (RM5, sebelum­nya RM4) dan telur gred C (RM13) sepapan.

“Peniaga memberitahu sesetengah barang dijual mengikut jualan daripada pemborong atau pembekal dan sebagai pengguna kita tidak ada banyak pilihan kerana mahu atau tidak kita memang kena beli,” ujarnya.

NOR HAZANA sedang mengatur sayur jualannya di Pasar Chabang Tiga di Kuala Terengganu semalam.

Bagi seorang peniaga, Mohamad Kamal Jamaluddin, 44, kenaikan harga sayur menyebabkan ada peniaga terpaksa mengurangkan kuantiti bagi mengelakkan pelanggan mengeluh.

“Misalnya dulu RM10 boleh dapat tiga jenis sayuran yang dijual dalam pinggan dengan jumlah agak banyak tapi sekarang harga masih sama cuma kuantiti sedikit,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Habibah Roslan, 38, meluahkan kekecewaan apabila perbelanjaan mingguannya semakin meningkat.

“Mungkin ada bahan yang sudah dikawal harganya seperti ayam sekarang ini RM9.30 sekiloram, tapi ada juga bahan yang lain mahal dan tidak masuk akal.

“Kalau minggu lepas saya beli ikan merah RM28 sekilogram, tapi sekarang sudah RM32, cepat sangat harga naik dan tertekan berbelanja lebih,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI