SEBERANG PERAI – Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang, Datuk Azhar Arshad akan dilantik sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang baharu berkuat kuasa esok.
Pelantikan itu dipersetujui dan diluluskan sebulat suara oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 21 Disember lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dalam satu kenyataannya berkata, pelantikan Azhar dibuat secara peminjaman untuk tempoh dua tahun dan opsyen pelanjutan satu tahun berkuat kuasa 1 Januari ini.
“Ketika ini, urusan pelantikan tersebut sedang diuruskan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” katanya.
Azhar yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Diploma Pendidikan Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pengurusan Awam dan Kursus Sarjana Pengurusan Sumber Tanah itu dipilih menggantikan Datuk Rozali Mohamud, 63, yang akan tamat kontrak perkhidmatannya hari ini. – K! ONLINE