PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka akan melanda Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga pukul 3 petang hari ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan di Facebook berkata, amaran itu melibatkan daerah Hilir Perak di Perak manakala Sabak Bernam dan Kuala Selangor di Selangor.
“Di Negeri Sembilan, cuaca buruk ini dijangka berlaku sekitar Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau dan Tampin.
“Selain itu, keadaan yang sama melibatkan keseluruhan negeri Melaka petang ini,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – K! ONLINE