SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.(Air Selangor) memberi pengecualian bayaran bil air untuk bulan Januari tahun depan kepada pengguna akaun Domestik (Kod Tarif 10) di Selangor dan Kuala Lumpur yang terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.
Air Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pengecualian tersebut merupakan sebahagian daripada Program Bantuan Selangor Bangkit (BSB) diumumkan Kerajaan Negeri Selangor.
Menurutnya, pengguna terjejas banjir akan menerima pengecualian bayaran bil air bagi tempoh satu bulan secara automatik dan tidak perlu mengisi atau menghantar sebarang borang kepada Air Selangor.
“Bil air bulanan akan terus dikeluarkan sepanjang tempoh pengecualian bayaran namun pengguna yang layak menerima pengecualian tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi tempoh dinyatakan.
“Air Selangor memahami kesulitan yang dialami oleh para pelanggan yang terkesan dengan insiden banjir dan berharap agar bantuan ini akan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna boleh menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor menerusi talian 15300 untuk sebarang pertanyaan atau merujuk aplikasi laman sosial Air Selangor selain Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com . -K! ONLINE