GEORGE TOWN – Polis daerah Timur Laut di sini menahan 44 individu bersama 44 buah motosikal kebanyakanya jenis Yamaha RXZ selepas melakukan pemeriksaan di beberapa inap desa di daerah itu menjelang ambang tahun baharu hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan pada petang tadi itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat berhubung penunggang motosikal yang ramai menginap di inap desa berkenaan.
“Ekoran itu, kita buat pemeriksaan lalu membawa balik 44 motosikal dan 44 lelaki berusia 20-an hingga 30-an dari kawasan sentral serta Batu Ferringhi.
“Motosikal itu kebanyakannya didapati melakukan kesalahan pengubahsuaian paip ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising dan nombor plat fancy,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, siasatan mendapati kebanyakan penunggang berkenaan datang dari lima negeri temasuklah Selangor, Perak, Pahang dan Johor.
“Kita juga sedang siasat sama ada mereka dari kumpulan sama atau sebaliknya. Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati modifikasi yang dibuat mereka hampir sama walaupun datang dari negeri berbeza,” katanya. – K! ONLINE