PUTRAJAYA – Kesan bencana banjir besar baru-baru ini bukan sahaja menjejaskan kehidupan ramai penduduk awam, malahan tidak ketinggalan beberapa petugas media tempatan sendiri.
Prihatin dengan nasib duka yang menimpa ‘rakan media’, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) tampil menyantuni wartawan Kosmo!, Abdul Rashid Abdul Rahman yang berkhidmat di Pahang.
Abdul Rashid menerima sumbangan khas selepas kerja pembersihan oleh sukarelawan UPNM di Sekolah Menengah Kebangsaan Mengkarak, Bera.
Ia diserahkan sendiri oleh Pengarah Hal Ehwal Korporat UPNM, Prof. Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw sebagai tanda kecaknaan terhadap keperitan bah yang dirasai wartawan berkenaan.
Rumah yang didiami Abdul Rashid bersama-sama ahli keluarganya di Bentong habis rosak akibat ditenggelami banjir dan berita mengenainya turut disiarkan menerusi saluran RTM kelmarin.
Kegigihan Abdul Rashid juga amat menyentuh perasaan UPNM susulan banyak laporan banjir di negeri ini minggu lalu disiarkan ketika rumahnya turut terkesan.
Menerusi satu kenyataan, UPNM memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa menghargai jasa warga media atas liputan berita terhadap institusi pengajian tinggi itu melalui Program Santuni Media iaitu antara Misi Bantuan dan Sukarelawan Bencana Banjir UPNM di Pahang.
Ia melibatkan pembaikan dan pemulihan kediaman staf serta pelajarnya yang terjejas di negeri berkenaan.
Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah turut melakukan lawatan kawasan kelmarin dan amat prihatin dengan kebajikan mereka disebabkan musibah tersebut.
Sementara itu, kata kenyataan itu, misi khas tersebut juga menghantar sejumlah pek makanan kepada masyarakat Bera melalui Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Rok dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi yang turut menyalurkan 500 pek makanan kepada Pusat Khidmat DUN Johol, Negeri Sembilan. – K! ONLINE.