LONDON – Jurgen Klopp mengakui bahawa Liverpool tidak boleh memberikan sebarang alasan di atas kekalahan memeritkan 0-1 kepada Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power awal pagi semalam.
Sebaliknya pengurus dari Jerman itu memberi amaran kepada anak-anak buahnya supaya segera mempelajari kesilapan hasil prestasi yang disifatkannya di bawah prestasi sebenar.
Pada perlawanan tersebut, Mohamed Salah gagal menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan pada minit ke-15, manakala Sadio Mane melepaskan banyak peluang terhidang.
“Leicester City berhak mendapatkan kemenangan ini. Ia menjadi perlawanan yang agak menjanggalkan walaupun masih mencipta peluang, kami masih belum cukup bagus.
“Kami melakukan perkara yang negatif ketika mengawal bola. Kami mengharungi perlawanan yang buruk dan kami memang berhak menerima keputusan ini.
“Dari segi aspek membuat keputusan juga kami agak teruk. Saya fikir kami bermula dengan baik tetapi selepas itu kami mula hilang rentak dan gagal mendapatkannya semula.
“Leicester hanya ada satu percubaan tepat dan agak sukar untuk kami jelaskan kenapa kami gagal bertahan dengan lebih baik,” tegas Klopp.
Bekas pemain Everton, Ademola Lookman meledak gol tunggal pada minit ke-59 dan keputusan itu menyaksikan Liverpool ketinggalan enam mata berbanding Manchester City di puncak liga.
The Reds ketika ini terikat 41 mata dengan Chelsea dan pencabar itu akan jadi lawan seterusnya selepas ini. – AGENSI