PETALING JAYA – Pelakon Ardell Aryana mengakui misi menyalurkan keperluan musim sejuk di Syria terus membuka matanya untuk lebih memahami nilai kemanusiaan sejagat.
Katanya, kunjungan ke khemah pelarian di Idlib yang dipenuhi anak yatim piatu bagi mengagihkan sumbangan daripada dermawan Malaysia turut mengingatkannya tentang keprihatinan membantu insan memerlukan.
“Aku belajar banyak benda tentang reda dan aturan yang Allah tetapkan untuk hamba-Nya. Terima kasih rakyat Malaysia. Bahagia mereka apabila kita masih mengingati mereka, bawakan makanan dan baju sejuk untuk mereka.
“Bahagia mereka apabila kita mengingati mereka. Terima kasih kepada yang percaya kepada saya untuk sampaikan sumbangan kalian di Syria.
“Inilah bumi Syria, bantuan musim sejuk untuk mereka. Kebanyakan di sini rumah kena bom tapi mereka tetap tinggal di sini. Ke mana lagi mereka mahu pergi,” kongsinya menerusi Instagram Story, malam tadi.
Difahamkan pemilik nama sebenar Nurul Hidayah Mohd. Amin yang juga isteri kepada aktor Nadzmi Adhwa itu ‘terbang’ ke Syria bagi mengikuti misi kemanusiaan bersama badan bukan kerajaan (NGO), MyFundAction sejak 28 Disember lalu.
Ardell selaku ikon pertubuhan yang aktif menyalurkan bantuan kepada insan memerlukan sama ada di Malaysia atau di negara bergolak bersama pasukannya turut membawa bekalan ubat, selimut dan pakaian musim sejuk.
Dalam hantaran di Instastory, dia berkongsi beberapa rakaman video di rumah anak yatim yang menunjukkan pengagihan makanan serta barangan keperluan.
Sebagai ibu, hati pelakon tersebut terusik melihat keadaan penghuni penempatan tersebut yang melalui musim sejuk dalam keadaan sukar sehingga mengakibatkan ramai jatuh sakit.
Namun pada masa sama, ketabahan anak-anak mangsa peperangan yang masih kecil mendepani cabaran membuatkannya semakin bersemangat mahu membantu.
“Mereka (anak kecil) beratur mendapatkan makanan dan pakaian. Kulit anak-anak ini kering dan luka kerana terlampau sejuk. Sangat sejuk di sini hingga ada yang meninggal dunia kerana kesejukan dan kelaparan melampau.
“Bayangkan mereka adalah ahli keluarga kita. Mereka ini menjadi anak yatim piatu kerana perang. Kuatkan mereka. Saat ini air mata terus mengalir.
“Apakah kita bersyukur dengan bentuk rezeki yang diberikan kepada kita? Tanya pada diri. Lihat pada mata, bukan sekadar mata yang memerhati.
“Terima kasih kepada yang bersama saya membantu anak Syria di Idlip. Inilah nilai kemanusiaan, membantu mengisi perut kelaparan. Terus sumbang walaupun RM1 ,” tulisnya.
Terdahulu, pada November 2020 Ardell bersama MyFundAction mengagihkan bantuan kepada penduduk terjejas di Sabah, malah sebelum ke Syria mereka juga turun ke lokasi terjejas banjir di Bukit Changgang dan Labohan Dagang, Banting.
Sementara itu, menerusi perkahwinannya dengan bintang Hati Perempuan itu pada September 2019, pasangan tersebut dikurniakan seorang anak perempuan, Arwa Malaikha Urwa, setahun. – K! ONLINE