TIGA pucuk muda berprofesi anak seni, Nadhir Nasar, MK K-Clique dan Sharifah Rose mencipta fenomena tersendiri menerusi kerjaya glamor masing-masing.
Nadhir mencuri perhatian dengan dua naskhah drama yang memperkenalkan namanya dengan cermat di mata peminat. MK digilai ramai peminat terutama golongan wanita yang ‘cair’ dengan bakat yang kian dihidu bukan hanya dari jalur muzik hip-hop, bahkan mendaki tangga-tangga menjadi pelakon pujaan ramai.
Si bunga yang dipotret bersama dalam edisi khas hujung tahun ini, Sharifah Rose pula membuktikan, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Bintangnya sebagai seorang aktres semakin bersinar dengan kualiti lakonan yang kian bergaya.
Ikut jejak langkah ‘pemain’ Indonesia, ke Hollywood
Figura dengan nama pentas Nadhir Nasar mula menjadi sebutan selepas membintangi drama bersiri Projek: Anchor SPM. Sesudah itu, dia tidak menolak belakang apabila sekali lagi memercik fenomena tersendiri dengan satu lagi drama bersiri berjudul I-Tanggang: Mother of All Lies.
Kata Nadhir atau nama lengkapnya, Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, kejayaan tidak datang bergolek. Dia pernah 15 kali gagal mengikuti uji bakat lakonan sebelum bergelar Hero Remaja 2020.
HIBGLAM: Bagaimana Nadhir merangkumkan perjalanan karier seni sepanjang 2021?
NADHIR: 2021 telah menjadi satu tahun yang sangat bertuah buat saya. Saya mula diberikan kepercayaan menjayakan drama-drama ‘best’ berbeza daripada kelaziman sebelumnya.
Saya sangat berterima kasih kepada semua karya yang pernah saya jayakan terutama Projek: Anchor SPM dan i-Tanggang: Mother of All Lies yang membuka mata ramai terhadap bakat yang ada dalam diri ini.
Perlahan-lahan orang mula kenal siapa saya dalam industri. Saya bukan nak mendabik dada kerana saya percaya perjalanan seni ini masih jauh tetapi dan saya bukanlah seorang pelakon yang terlalu kejarkan perihal populariti.
Kendatipun, saya sangat bersyukur dengan perjalanan karier yang berjalan lancar pada waktu pandemik dan penuh onak duri.
Secara peribadinya, anda takut atau tidak dengan segala pujian yang dihamparkan kini?
Sejujurnya, saya takut. Takut apabila orang mula meletakkan harapan tinggi terhadap saya tetapi pada masa sama, segala pujian dan kritikan memberikan motivasi buat saya untuk terus bersungguh-sungguh pada masa akan datang.
Kata orang, kalau cepat naik, senang juga untuk turun. Jadi, apa yang penting sekarang adalah bagaimana untuk mengekalkan momentum bagi tahun akan datang terutama 2022.
Kepada siapa anda ingin berterima kasih atas pencapaian dalam industri lakonan sekarang?
Sejujurnya, kepada adik-beradik saya yang sentiasa percaya dengan kemampuan yang ada dalam diri. Mereka yang dorong saya untuk terus mencuba dan bekerja keras dalam setiap perkara yang saya lakukan dalam kehidupan.
Kepada industri juga saya ingin memberi ucapan terima kasih terutama kepada pelakon Beto Kusyairy. Dia banyak mengajar saya dalam satu projek telefilem sebelum ini. Saya masih ingat semasa penggambaran 14 hari di Cherating, Pahang.
Dia yang banyak ajar soal lontaran dialog, penghayatan dan asas untuk menjadi seorang pelakon.
Saya tak akan berada pada tahap sekarang tanpa orang yang baik hati yang banyak membantu. Pengarah dan penulis skrip.
Saya ibaratkan diri sekeping kertas putih, pengarah dan penulislah yang mencorakkan warna saya. Macam bentuk origami.
Kalau mereka nak saya jadi buruk, saya jadi buruk, kalau mereka nak saya jadi kapal, saya akan buat sehabis baik untuk jadi kapal. Begitu cara saya berkerja.
Apa lagi yang anda mahu capai dalam industri lakonan selepas ini?
Saya mahu terus berkembang sebagai seorang pelakon yang baik. Saya tak kisah bekerja dengan sesiapa. Yang ramai pengikut media sosial atau mereka yang orang cakap ‘pelakon metod’.
“Saya percaya, semua orang ada gaya lakonan tersendiri. Kita yang bertanggungjawab membentuk setiap watak.
Satu lagi, saya nak bawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa. Kedengaran agak ‘ambitious’ tapi saya yakin, kalau ada usaha dan peluang, tidak mustahil.
Saya tengok ramai pelakon seberang seperti Joe Taslim dan Iko Uwais meraih perhatian di Hollywood.
Kalau mereka boleh, tidak mustahil pelakon Malaysia juga turut mempunyai peluang sama.
MK idam label sendiri
KERJAYA lakonannya semakin mengukuh sementelah jalur muziknya terus didamba peminat yang sentiasa memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi.
MK atau nama lengkapnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan, 25, mengharapkan kerjaya seninya, baik secara perseorangan dan berkumpulan bersama K-Clique terus menjalar untuk tahun 2022.
Banyak perkara yang berlaku sepanjang tahun 2021 walaupun dibebani dengan permasalahan Covid-19 dan rintangan lain. Bagaimana MK merangkumkan perkembangan kerjaya untuk tahun yang penuh mencabar ini?
MK: Alhamdulillah, saya melihat 2021 sebagai tahun yang penuh dengan dugaan. Perjalanan karier sedikit perlahan dengan pandemik dan lockdown.
Tapi alhamdulillah dapat bergerak semula seperti biasa. Bagi saya, perjalanan 2021 merupakan satu lagi permulaan untuk tahun 2022.
Dari segi lakonan terutamanya, insya-Allah saya akan kekalkan momentum untuk dibawa ke tahun hadapan.
Apa yang anda boleh dijanjikan buat tahun 2022?
Fokus kepada K-Clique, insya-Allah. Album debut kami akan dilancarkan tahun hadapan. Semua lagu sudah hampir 100 peratus dirakam, sekarang sedang dalam proses pemilihan, menyusun atur sebelum dikongsikan kepada para peminat. Dari segi lakonan tetap berjalan seperti biasa.
Saya nak terus memperbaiki diri dan terus menjadi yang terbaik buat para peminat yang tak henti-henti memberi dokongan. Kita pun tak tahu apa akan jadi pada tahun hadapan. Harap-harap keadaan menjadi lebih stabil supaya semua orang dapat melaksanakan impian dan misi masing-masing.
Kalau ada satu impian besar yang ingin digapai anda untuk tahun 2022, apakah perkara tersebut?
Saya ada impian untuk mempunyai label atau syarikat rakaman sendiri. Label yang menaungi bakat rapper-rapper yang belum dikenali umum terutama dari negeri kelahiran saya, Sabah.
Sabah memang banyak bakat tersembunyi yang menunggu masa untuk dikongsi kepada rakyat Malaysia.
Saya nak impian ini terlaksana sebab saya pun bermula dari bawah bersama K-Clique, dari peringkat ‘underground’ sehingga dikurniakan bermacam rezeki oleh Allah. Insya-Allah, suatu hari nanti.
Maaf bertanya, umum mengetahui anda sangat menjaga privasi apabila bercakap perihal cinta. Untuk tahun 2022, adakah akan menjadi tahun anda bertemu jodoh?
(Ketawa). Kalau cakap tentang jodoh, saya lebih selesa beritahu yang untuk menjadi milik seseorang secara sah, saya perlu menjadi yang terbaik untuk diri sendiri dulu.
Kena ada sesuatu yang kukuh untuk kehidupan bergerak ke satu fasa yang lain. Sekarang ini, saya masih terbuka untuk mencari (jodoh) dan pada masa sama, perlu bekerja keras untuk memajukan diri dan memberi kesenangan kepada keluarga serta orang rapat.
Kalau tanya tentang ciri teman wanita, saya tak minta banyak. Cukuplah andai si dia memahami kerjaya saya sebagai seorang anak seni. Saya tak memilih dari segi fizikal atau penampilan. Asalkan dia faham kerja saya dan saya juga faham kerja dia. Insya-Allah. Doa-doakanlah agar jodoh
Jangan tanya soal kahwin – Sharifah Rose
BUNGA kian mewangi, itulah Sharifah Rose yang namanya semakin hari semakin mekar di taman seni lakonan tanah air. Baru muncul dengan sebuah drama, namun disebabkan kecaman hebat diberi jolokan pelakon kayu, nama gadis yang mesra disapa sebagai Rose itu tiba-tiba menjadi sebutan ramai.
Awalnya, kemunculan pempengaruh media sosial (influencer) ini sebagai anak seni seperti kurang direstui umum, namun detik demi detik, hadirnya semakin diiktiraf ramai.
Kini, pemilik nama penuh Sharifah Rose Sabrina Syed Mohd Mazfira, 23, terus mekar sehingga menjadi sebutan ramai. Tidak keterlaluan sekiranya meletakkan dia dalam kelompok pendatang baharu yang paling menyinar pada tahun ini. Begitulah perjalanan karier si bunga yang semakin mengharum itu sepanjang 365 hari bagi tahun 2021.
Sebagai pendatang baharu, boleh anda simpulkan perjalanan karier sepanjang 2021? Adakah penuh berliku atau berjalan mengikut perancangan?
Mulanya, semua bercampur-aduk. Ramai yang mengkritik berbanding memuji disebabkan status saya sebagai ‘influencer’, kemudian menjadi pelakon utama untuk sebuah drama.
Ketika itu, drama belum keluar tapi kecaman sudah berbakul-bakul.
Namun, lama-kelamaan saya syukur kerana semakin diterima dalam industri memandangkan drama pun sudah ditayangkan. Itu membuatkan saya lebih semangat untuk menjadi anak seni, sekali gus memeriahkan dunia lakonan tanah air.
Tahun 2021 juga mengajar saya untuk belajar bersyukur dengan rezeki dan masa yang dimiliki. Kehidupan sebagai pelakon sangat berbeza dengan ‘influencer’. Jadi anak seni lebih penat dan itu membuatkan saya lebih menghargai rezeki dan masa terluang.
Adakah anda melalui fasa sedih atau kemurungan setiap kali ada yang mempertikaikan keupayaan anda sebagai seorang pelakon?
Pada awalnya memang wujud perasaan takut dan gementar apabila mengambil keputusan untuk menjejakkan kaki ke dunia seni. Sentiasa ada pemikiran seperti mempersoalkan, layakkah saya untuk bergelar pelakon.
Ketika itu, saya fikir orang tak mahu beri saya peluang kerana kerap mempertikaikan percubaan pendatang baharu seperti saya.
Kemudian ditambah pula dengan kecaman netizen, tekanan semakin berat. Berbekalkan doa keluarga dan sokongan ramai, saya kuatkan semangat serta cuba abaikan semua komen negatif. Saya teruskan sahaja apa yang direncanakan Tuhan.
Boleh kongsi bagaimana anda mengendalikan semua kritikan yang tidak diundang?
Jika terlalu melayan semua kecaman, perkara tersebut akan menjatuhkan diri sendiri. Jadi, lebih baik abaikan sahaja dan cuma ambil perkara yang boleh memberi manfaat.
Bukan mudah sebenarnya terutama sepanjang tempoh penggambaran kerana orang meletakkan harapan dan penanda aras yang tinggi, mungkin sebab itu muncul gelaran pelakon kayu kerana tidak mencapai kehendak mereka,
Alhamdulillah, hasil tunjuk ajar pelakon senior, saya boleh dikira berjaya melaluinya dan ramai mula memuji mutu lakonan semakin baik.
Tahun 2021 akan melabuhkan tirai, boleh kongsikan mengenai perancangan atau azam 2022?
Saya baru muncul dengan sebuah drama, mungkin pada tahun depan mahu lebih agresif dengan mencuba pelbagai jenis karakter. Karakter impian saya ialah watak komedi kerana bukan mudah ingin membuat orang ketawa dan itu satu bentuk cabaran untuk diri sendiri.
Demi menangkis semua gelaran pelakon kayu, insya-Allah, saya akan sertai kelas lakonan dengan mana-mana pelakon senior atau guru yang diiktiraf. Paling penting, jangan tanya bila hendak berkahwin sebab perjalanan saya baru bermula dan masih muda lagi.
Saya juga bakal melancarkan jenama pakaian sendiri dan produknya masih lagi rahsia. Sebenarnya projek ini sudah lama tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan, nantikan ya!
Apakah harapan besar anda untuk tahun 2022?
Banyak tetapi paling saya inginkan ialah beri saya peluang untuk terus belajar. Seterusnya menjadi seorang anak seni yang bakatnya diiktiraf umum.
Bukan semua pendatang baharu bermula dengan momentum yang hebat. Perlahan-lahan saya mendaki, insya-Allah.
Jauh daripada kontroversi murahan juga antara harapan untuk 2022. Namun, orang cakap juga, jika terlalu mengelak, nanti terkena juga tempiasnya. Mungkin saya akan belajar menjadi seorang yang tidak mudah melatah dan kekal tenang tatkala dihambat isu panas atau kontroversi.