SEREMBAN – Seorang pegawai bank berputih mata apabila terpedaya dengan taktik sindiket Macau Scam sehingga menyebabkan wang simpanannya lesap sebanyak RM104,000 sekelip mata.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa iaitu wanita berusia 47 tahun telah mendapat panggilan talefon dari seorang wanita pada pukul 9 pagi semalam dan dimaklumkan terdapat transaksi daripada Kredit Kad Master berjumlah RM4,663 kepada Oversea Bitcoin.
Menurutnya, perbualan berkenaan telah disambungkan kepada pihak Bank Negara dengan nama Sarah.
“Sarah memberitahu terdapat transaksi atas nama mangsa dan dia juga telah menunjukkan laporan telah dibuat ke atas mangsa. Perbualan berkenaan kemudiannya disambungkan lagi kepada seorang lelaki dan lelaki berkenaan telah meminta mangsa mengemaskini pita magnetik pada kadnya.
“Mangsa juga diminta untuk menyenaraikan kad bank yang dimiliki dan diarah menukar nombor pin di mesin pengeluaran wang automatik (ATM). Mangsa telah memberikan maklumat yang diminta tanpa menyedari ia adalah perbuatan scam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aibee berkata, mangsa berasa tidak sedap hati dan telah membuat semakan di sebuah bank di bandar ini dan mendapati terdapat pengeluaran wang dalam akaunnya sebanyak RM104,000.
Menurutnya, pengeluaran tersebut adalah atas nama akaun Haliqkul Zaman dan Nurul Nadia.
“Mangsa yang merasa tertipu telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Campbell semalam bagi tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- K! ONLINE.