PETALING JAYA – Ketika berdepan cabaran pandemik dan banjir kilat yang belum pernah dialami sebelum ini sehingga menjejaskan operasinya, Northport (Malaysia) Bhd. (Northport) melabuhkan tirai 2021 dengan prestasi cemerlang.
Pada pukul 11.15 pagi tadi, Northport berjaya mencatat rekod baharu dengan kendalian tahunan kontena tertinggi dalam sejarahnya selepas kontena ke-3,305,765 dipunggah dari kapal Interasia Horizon, mengatasi rekod sebelum ini iaitu 3,305,764 TEU (bersamaan dua puluh kaki unit) yang dikendalikan pada 2010.
Kendalian kontena Northport untuk tahun 2021 setakat ini adalah 20.7 peratus lebih tinggi berbanding 2020.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Shah Mohd. Yusof berkata, pihaknya telah memulakan program ‘Reinventing Northport’ sejak pengambilalihan oleh kumpulan MMC Corporation Berhad pada 2016.
“Ia termasuk memfokuskan semula strategi kami untuk menjadi pintu masuk negara dan hab Intra-Asia, mengoptimumkan kos operasi, menggantikan peralatan lama, menambah baik fasiliti dan meningkatkan mutu perkhidmatan serta produktiviti.
“Usaha ini telah membuahkan hasil dengan prestasi pecah recod untuk pengendalian kontena bulanan tertinggi setelah kami merekodkan 310,865 TEU pada Disember tahun lepas.
“Kami juga telah mencatatkan peningkatan stabil sehinggalah pandemik menjejaskan momentum prestasi kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman Shah menambah, pihaknya tetap optimis terhadap prospek 2022 dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu, dengan gelombang baharu Covid-19 yang dibawa oleh varian baharu Omicron telah menjejaskan banyak negara di seluruh dunia.
“Kami akan meneruskan fasa ‘Reinventing Northport’ dengan mengembangkan kapasiti lapangan kontena dan membeli peralatan baharu untuk meningkatkan lagi produktiviti serta mencapai lebih banyak kejayaan dalam perjalanan transformasi menjadi pelabuhan yang lebih selamat, lebih hijau, lebih pintar dan lebih baik,” tegasnya. – K! ONLINE