PUTRAJAYA – Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana pagi tadi susulan amaran cuaca buruk di beberapa lokasi ketika ini.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi satu kenyataan berkata, notis siap siaga itu dikeluakan pukul 11.40 pagi hari ini.
Menurutnya, notis itu dikeluarkan susulan amaran cuaca berterusan bahaya (merah), amaran cuaca buruk (jingga) dan amaran cuaca berterusan waspada (kuning) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pukul 11.20 pagi.
“Berikutan notis ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
“Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri/Daerah juga dimohon untuk memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).
“PKTK mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan. Semua Pusat Operasi/Kawalan Bencana Peringkat Pusat hendaklah memanjangkan notis ini ke peringkat negeri dan daerah,” katanya hari ini.
Katanya, Nadma melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.
Malah, katanya, NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80635420 dan alamat emel opsroom@nadma gov.my. – K! ONLINE.