PETALING JAYA – “Minta maaf dengan netizen tetapi dengan mak sendiri kau tak buat.”
Demikian respons usahawan terkenal, Bonda Rozita Ibrahim mengenai tindakan anaknya iaitu ahli perniagaan sensasi, Datuk Aliff Syukri yang memohon maaf kepada netizen selepas disahkan positif Covid-19 tahap tiga semalam.
Menurut Rozita dalam satu hantaran Instagram, dia mempertikaikan tindakan Aliff yang terlalu menjaja tentang keadaan kesihatan dirinya bagi meraih simpati ramai.
“Kau memang raja viral dan tak ada kerja di sana. Wasiatkan semua harta kau kepada Datin Shahida dan anak-anak, beri sedikit kepada mak juga.
“Kau janganlah nak poyo sangat, tangan gatal menaip bagai nak rak. Hadis dan doa mana entah yang kau muat naik,” katanya.
Tambah pengasas jenama Sendayu Tinggi itu, disebabkan tindakan Aliff, dia dan beberapa ahli keluarga lain menjadi mangsa kecaman netizen.
“Sekarang yang jadi mangsa kecaman netizen ialah mak, Shahida dan ahli keluarga lain. Kau jangan cari pasal, mak serang kau di sana nanti.
“Sejak balik (dari Turki) memang kau dah sakit dan sekarang sudah sihat. Duduk di hospital seorang diri jangan beri orang lain risau dan jika sudah sembuh pun tak perlu nampak nazak.
“Mak menangis suruh kau periksa kesihatan sebelum ini tetapi kau tak mahu dengar. Kau seorang saja yang sakit, sudah sembuh tetapi janganlah kongsi seperti sedang nazak sangat,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia juga memberitahu telah memberi amaran kepada Aliff tetapi tidak dibalas sehingga hari ini.
“Mak ‘sound’ Shahida tetapi kau tak balas mesej dan jawab panggilan mak. Ini mak tegur terus, biar kau rasa. Nak sangat viral kan? Mak pula yang kecam kau.
“Muat naik hantaran minta maaf dengan netizen tetapi dengan mak sendiri tidak. Sebelum neyizen, lebih baik mohon ampun dengan mak dulu,” ujarnya lagi.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan Aliff mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-19 tahap tiga yang menyerang bahagian paru-parunya.
Lebih menyentuh jiwa ramai, akibat risau pendek umur, pelakon filem Badang itu turut memohon maaf sekiranya pernah menyakiti hati mana-mana netizen atau individu sebelum ini.
Untuk rekod, sekitar Mac lalu, Rozita pernah menyelar mutu vokal dan muzik video untuk lagu berjudul Asal Bahagia dan menegur anaknya kerana suka membuat gimik murahan.- K! ONLINE