HUJUNG tahun merupakan bulan paling ditunggu-tunggu oleh ramai ibu bapa memandangkan ketika itu anak-anak sedang bercuti sekolah panjang.
Ia juga masa sesuai untuk pergi bercuti bersama keluarga memandangkan ibu bapa yang bekerja akan menghabiskan cuti tahunan mereka.
Malangnya, pada hujung tahun, sesetengah negeri di Malaysia mengalami musim hujan atau tengkujuh.
Ketika ini, hujan turun dengan lebat dan kerap sehingga boleh berlaku banjir.
Bagaimanapun, musim hujan bukanlah alasan untuk anda tidak membawa keluarga bercuti dengan membatalkan percutian yang sekian lama dirancang.
Alasan risaukan kesihatan dan keselamatan ahli keluarga bagaikan tidak sesuai digunakan bagi membatalkan atau menunda percutian pada musim hujan.
Walaupun musim hujan dan cuaca yang sejuk, namun banyak faktor boleh dititikberatkan supaya segala hal merisaukan bertukar kepada menyeronokkan.
Secara tidak langsung, anda berpeluang menikmati pengalaman baharu dan melihat aktiviti masyarakat tempatan di lokasi percutian saat musim hujan.
Minggu ini, Horizon ingin berkongsi perkara-perkara yang harus dititikberatkan oleh orang ramai sekiranya merancang untuk bercuti ketika musim tengkujuh.
Kenali atau tentukan destinasi yang akan dituju. Jika destinasi percutian anda adalah negara atau kawasan tropika, maka boleh dianggap akhir tahun adalah musim hujan.
Ketahui musim hujan di destinasi percutian yang ingin dikunjungi. Dengan itu, anda boleh bersedia dengan segala macam keperluan.
Pemilihan tempat percutian
Sebelum pergi bercuti, pastikan anda sudah tentukan tempat-tempat menarik yang akan dikunjungi.
Pastikan lokasi dilawati itu memiliki kemudahan awam seperti laluan berbumbung dan pengangkutan. Anda boleh membuat penyelidikan menerusi internet tempat yang ingin dikunjungi seperti kemudahan disediakan dan ramalan cuaca. Dengan itu, anda sekeluarga tidak terlalu lama berjalan dan berisiko kehujanan ketika melancong.
Buat perancangan awal
Dengan perancangan awal, anda sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku terutama ketika musim hujan. Anda juga boleh menyediakan beberapa alternatif lain saat hujan lebat dengan menyediakan permainan indoor seperti dam, Saidina, Monopoly di bilik penginapan supaya anak-anak tidak berasa bosan sementara menunggu hujan reda di dalam hotel atau rumah penginapan.
Bawa kelengkapan
Dengan cuaca yang agak lembap kerana hujan, anda perlu menyediakan semua keperluan mengikut keadaan semasa.
Ini termasuk membawa pakaian sesuai seperti jaket, topi dan kasut kalis air bagi semua anggota terutama buat si kecil.
Sesetengah orang berpendapat membawa payung tidak praktikal. Jika anda tidak mahu membawa payung, pastikan jaket yang dipakai bersesuaian. Sekiranya perlu anda boleh membawa baju hujan pakai buang yang lebih ringan setiap kali berjalan di luar.
Pilih pakej sesuai
Bagi anda yang ingin mengikuti pakej bersama agensi pelancongan, pilih pakej pelancongan bersesuaian dengan keadaan anda sekeluarga. Memilih pakej ditawarkan agensi pelancongan adalah alternatif menarik di musim hujan.
Ini kerana dengan mengikuti rombongan, pelancong akan menaiki bas persiaran disediakan. Justeru, anda tidak perlu memandu sendiri atau berisiko terkena hujan ketika mengunjungi tempat menarik.
Bawa peti kecemasan
Bagi menghadapi sebarang kemungkinan ketika melancong pada musim hujan ini, bawalah ubat yang bersesuaian untuk kegunaan anda sekeluarga. Ubat selesema dan batuk adalah keutamaan kerana penyakit itu senang menyerang kanak-kanak ketika musim hujan.
Keadaan jalan yang licin juga boleh mengundang kecelakaan seperti tergelincir ketika berjalan. Dengan adanya peti kecemasan, anda boleh merawat luka kecil sendiri.