SHAH ALAM – Kerajaan negeri menegaskan bahawa wang tunai Bantuan Selangor Bangkit (BSB) hanya kepada warga tempatan sahaja.
Menurut Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail, demi perikemanusiaan pihaknya turut membantu warga asing daripada aspek pemberian barang dan makanan.
“Banjir yang melanda Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga ini khususnya bukan sahaja melibatkan warga tempatan malahan warga asing turut sama.
“Dasar kita adalah wang bantuan adalah untuk warganegara dan bagi warga asing diberikan bantuan seperti tilam, bantal dan makanan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengagihan Bantuan Wang Ihsan (BWI) dan Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri di Dewan Alamanda hari ini.
Rodziah yang merupakan ADUN Batu Tiga berkata, wang BSB tersebut juga hanya akan diberi kepada penghuni rumah yang terlibat banjir dan bukannya tuan rumah.
“Apa yang penting bancian akan dibuat terlebih dahulu berdasarkan alamat penghuni rumah tidak kira mereka penyewa atau pemilik rumah. Setakat ini saya anggarkan seramai 10,000 mangsa banjir terlibat di DUN Batu Tiga,” katanya.
Mengulas mengenai program tersebut beliau berkata, seramai 1,100 mangsa banjir telah menerima bantuan BSB tersebut semalam dan hari ini. -K!ONLINE