PETALING JAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengumumkan moratorium buat usahawan mikro dan informal yang mendapat pembiayaan daripada agensi-agensi di bawahnya berikutan bencana banjir.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, untuk permulaan, moratorium akan diberikan kepada golongan usahawan mikro dan informal melibatkan pembiayaan di bawah Tekun Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).
Jelasnya, Tekun Nasional memberi moratorium kepada peminjam yang terkesan dengan banjir selama enam bulan dan memperuntukkan sejumlah RM30 juta untuk pembiayaan usahawan mikro serta informal yang terkesan dengan banjir.
“Moratorium ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 4,000 usahawan Tekun dan ia berkuatkuasa serta merta.
“Bagi Sahabat pula, AIM yang terkesan boleh membuat permohonan untuk menangguh bayaran balik pinjaman sebanyak empat kali dengan maksimum tempoh penangguhan selama setahun dan membuat penjadualan balik pinjaman sehingga tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Noh menambah, Sahabat AIM yang terlibat dengan banjir juga akan menerima bantuan Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS).
Menerusi TTKS, Sahabat AIM yang mana rumah mereka terlibat banjir diberikan RM300, manakala bantuan RM300 turut diberikan sekiranya projek mereka terlibat banjir.
“Sekiranya kedua-dua rumah dan projek terlibat dengan banjir, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM600 dan bantuan ini akan memberi manfaat kepada 9,200 Sahabat AIM.
“Kami berharap semoga bantuan-bantuan ini akan dapat menjadi permulaan untuk menstabilkan semula aturan perniagaan dan kehidupan mangsa,” ujarnya.