DUNGUN – Hujan lebat berterusan sejak petang semalam menyebabkan Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun di sini kembali dinaiki banjir sebentar tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, setakat pukul 4 petang, seramai 149 penduduk daripada 49 keluarga telah dipindahkan ke rumah saudara-mara dan pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja.
“Penduduk mula berpindah sejak pukul 10 pagi dengan dibantu oleh beberapa anggota agensi kerajaan termasuk polis, bomba dan Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Meskipun ada kediaman penduduk yang belum dinaiki air, kebanyakan mereka mengambil inisiatif berpindah lebih awal memandangkan hujan lebat masih berterusan,” katanya ketika ditemui di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja di sini hari ini.
Baharudin berkata, pihaknya menjangkakan jumlah penduduk yang akan berpindah akan bertambah dalam masa terdekat.
“Jika keadaan hujan berterusan, kita jangka lebih ramai penduduk akan berpindah. Selain itu , kita nasihatkan supaya penduduk Kampung Shukor dan beberapa kampung lain yang berhampiran untuk bersiap sedia berpindah,” ujarnya. – K! ONLINE