KOTA BHARU – Gelombang kedua banjir mula melanda negeri ini apabila Jeli menjadi daerah pertama terjejas apabila air Sungai Lanas dan Pergau melimpah selepas hujan lebat berterusan sejak malam tadi.
Setakat pukul 12 tengah hari tadi, portal ebanjir Kelantan melaporkan, empat pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka sejak pagi ini di Jeli bagi menempatkan 430 mangsa daripada 135 keluarga.
Empat PPS terbabit ialah PPS Dewan Kesedar, Tabika Kemas dan Sungai Satan melibatkan 286 mangsa, PPS Dewan Kesedar dan Pasti Bukit Lakota (126 mangsa), PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Bongor (7 mangsa) dan PPS SK Jeli 1(11 mangsa).
Di Rantau Panjang pula, seramai 54 mangsa dilaporkan masih lagi terkandas di PPS SK Gual Tok Deh, akibat banjir termenung yang belum surut selepas gelombang pertama, kira-kira dua minggu lalu.
Paras air Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah dilaporkan sudah melepasi paras amaran iaitu mencecah 23.06 meter, berbanding paras normal 19 meter.
Bagaimanapun sungai-sungai utama di Kelantan seperti Tangga Krai, Kuala Krai, Jambatan Guillemard (Tanah Merah), Tambatan Diraja (Kota Bharu) dan Sungai Golok (Rantau Panjang) masih normal meskipun menunjukkan peningkatan.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Jeli melaporkan Jalan Jeli Lama dinaiki air sedalam hampir satu meter di laluan sejauh 650 meter dan terpaksa ditutup kepada semua jenis kenderaan. -K! ONLINE.