JELI – Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan dron untuk membantu memantau keadaan banjir semasa di seluruh negara ketika ini.
Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya, Nazili Mahmood berkata, penggunaan dron amat penting dalam membuat jangkauan dan menilai tahap risiko yang berlaku di kawasan terjejas banjir.
Bagi tujuan itu, katanya, enam anggota dan pegawai bertanggungjawab untuk menguruskan dron di setiap negeri dengan bantuan 10 kakitangan di ibu pejabat yang terlatih dalam penggunaan alat berkenaan.
“Penggunaan teknologi ini diperlukan untuk membuat tinjauan banjir secara menyeluruh malah ia turut dapat menganggarkan keadaan air pasang dan surut.
“Dron juga dapat merakam gambar sebagai maklumat awal kepada masyarakat sekali gus digunakan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan,” katanya selepas membuat tinjauan dan menyampaikan bantuan kepada penduduk terjejas banjir di Kampung Legeh di sini hari ini.
Hadir sama, Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin.
Menurut Nazili, dron sudah digunakan di Lembah Klang dan Pahang yang terjejas banjir pada minggu lalu sekali gus ia banyak membantu aspek menyelamatkan mangsa selain menghantar bekalan makanan. -K! ONLINE