PETALING JAYA – Ayam Brand memperkenalkan tiga pes kari Thai tulen bersesuaian dengan perubahan gaya hidup masyarakat masa kini yang kesuntukan masa untuk menyediakan hidangan untuk diri sendiri, malah kepada keluarga.
Jenama makanan isi rumah di negara yang telah bertapak sejak 128 tahun itu menawarkan Thai Green Curry Paste (Pes Kari Hijau Thai) yang ikonik, Thai Red Curry Paste (Pes Kari Merah Thai) yang digemari ramai dan Thai Yellow Curry Paste (Pes Kari Kuning Thai) yang kurang pedas dan mesra kanak-kanak.
Produk yang dihasilkan di Thailand itu menggunakan ramuan tempatan yang dapat memenuhi resipi tradisi serta diterima ramai, selain tidak mengandungi bahan pengawet, tanpa pewarna tiruan dan diiktiraf halal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setiap pek didatangkan dengan tiga pek kecil pes kari seberat 50 gram yang mana setiap pek kecil itu cukup untuk hidangan dua hingga tiga orang.
“Pengenalan Pes Kari Thai Ayam Brand adalah amat bertepatan dengan masa dan dialu-alukan kerana kebanyakan kita kini kembali ke pejabat, universiti dan sekolah, sehingga menjadikan masa lebih terhad untuk menyediakan hidangan bagi diri dan insan tersayang,” jelas kenyataan itu.
Ujar kenyataan itu lagi, pes kari baharu ini sesuai digandingkan dengan Santan Ayam Brand untuk memberikan rasa hebat berkrim, aroma yang menambat selera dan mempunyai manfaat kesihatan santan dalam pek mudah.
Kari Hijau Ayam Thai sesuai digandingkan dengan ayam atau udang dan ia enak disajikan dengan nasi panas.
Pes Kari Merah pula sangat bersesuaian jika digandingkan dengan daging lembu, bebiri dan kambing.
Kari Kuning Ayam dan Lobak Merah Thai pula bakal menjadi kegemaran kanak-kanak serta golongan dewasa yang tidak menggemari hidangan pedas.