PUTRAJAYA – Kerajaan melanjutkan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Impak Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) yang sepatutnya akan luput tempoh pada esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia akan disambung mulai 1 Januari sehingga 22 Oktober 2022.
Lanjutan berkenaan ujar beliau, melibatkan penguatkuasaan di Bahagian II (ketidakupayaan melaksanakan obligasi kontraktual) dalam akta tersebut yang turut dirujuk sebagai Akta 829.
“Ini selaras peruntukan subseksyen 5(2) akta itu dengan menteri boleh melalui perintah disiar dalam warta bagi melanjutkan tempoh kuat kuasa,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Pelanjutan itu, jelas beliau, adalah bagi memastikan penyelarasan pelaksanaan Akta 829 yang efektif dan progresif selaras dengan pindaan yang dilaksanakan oleh kerajaan baru-baru ini.
Pindaan dibentangkan timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin itu malah telah diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Disember dan Dewan Negara pada 22 Disember lepas sebulat suara.
Ia melibatkan peruntukan dibawah beberapa kementerian atau agensi iaitu Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Sumber Manusia. – K! ONLINE