PETALING JAYA – Azwan Omar, 29, atau lebih dikenali sebagai ‘Abang Viva’ bersyukur apabila menjadi penerima sijil penghargaan Adiwira Prihatin Musibah baru-baru ini.
Penghargaan itu diberikan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan gambar sewaktu penyerahan sijil penghargaan itu turut dimuat naik di laman Facebook APM.
Ia disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya APM, Aminurrahim Mohamed yang menyampaikan Sijil Kepujian Ketua Pesuruhjaya kepada Azwan di atas keprihatinannya membantu mangsa banjir.
Selain itu, Azwan turut berkongsi momen berkenaan di laman TikToknya semalam.
“Alhamdulillah atas berkat doa mak ayah dan orang ramai semua. Saya telah menerima penghargaan Adiwira Prihatin Musibah,” katanya.
Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna media sosial turut berkongsi rasa gembira dan menyifatkan sijil penghargaan itu memang selayaknya diberikan kepadanya.
“Memang layak, terbaik abang viva hanya Allah yang dapat membalas kebaikan abang viva,” kata Rohani.
“Patut jadi contoh kepada orang ramai. Sanggup bantu orang yang dia tidak kenal. Tahniah anda memang layak terima penghargaan ini, kata Tomei.
Terdahulu, Azwan menjadi perhatian ramai kerana sanggup datang dari Melaka dengan berbekalkan RM50 bagi membantu mangsa banjir di Shah Alam. – K! ONLINE.