PETALING JAYA – Musibah banjir yang melanda negara minggu lalu bukan sahaja menyebabkan penduduk di Lembah Klang menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda tetapi situasi itu turut dialami pengusaha majlis perkahwinan.
Berkongsi keperitan dialami, pengusaha Klassique Touch Weddings & Events Sdn. Bhd, Asyraf Othman berkata, syarikatnya kerugian kira-kira RM100,000 selepas tujuh majlis terpaksa dibatalkan selain kerosakan barang perkahwinan pada 18 dan 19 Disember lalu.
“Hujan lebat menyebabkan air masuk ke dalam dewan sehingga mencecah paras lutut dan merosakkan semua barangan dan persiapan perkahwinan.
“Tetamu yang hadir kira-kira 20 peratus sahaja menyebabkan banyak makanan akhirnya diagihkan kepada mangsa bah dan rumah anak yatim, manakala cenderamata terbiar begitu sahaja,” katanya di sini semalam.
Luahan sama disuarakan pemilik Dins Aiman Katering, Nasirudin Nawawi, yang memberitahu, banjir yang melanda meranapkan impian pelanggannya di Kampung Bukit Changgang, Kuala Langat selepas pelamin musnah ditenggelami air.
“Keadaan menjadi tidak terkawal kira-kira pukul 11.30 pagi apabila air naik dengan laju sehingga merosakkan khemah dan menenggelamkan pelamin di dalam rumah,” ujarnya.
Nasirudin memberitahu, dia mengalami kerugian apabila banyak peralatan perkahwinannya rosak selain ada antaranya dihanyutkan air.
Sementara itu, hasrat pengantin baharu, Siti Faseha Zainudin dan suaminya Hafiz Keliwon untuk merakam momen bahagia di atas pelamin tidak kesampaian selepas rumah di Kampung Cemperai, Dengkil dinaiki air sehingga paras dada pada Sabtu lalu.
Siti Faseha memberitahu, air mula naik selepas dia selesai diijabkabulkan di Masjid Jameatus Solehah di sini pukul 10 pagi.
“Selesai nikah, kami pulang ke rumah dan air telah naik sedikit demi sedikit sehingga ke paras dada. Kami tidak sempat bergambar di atas pelamin kerana telah ditenggelami air.
“Trauma dan sedih, kerugian sangat besar, Kenangan bersama arwah bapa ‘lenyap’ begitu sahaja. Ini pertama kali kami ditimpa berhadapan dengan banjir besar,” luahnya. -K! ONLINE