NEWCASTLE – Manchester United gagal mengambil kesempatan untuk meraih kemenangan ke atas Newcastle United, sebaliknya terpaksa akur hanya mampu seri dengan kelab kedua tercorot Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Pengurus United, Ralf Rangnick berang dengan prestasi hambar dipamerkan barisan pemain yang dianggapnya sekadar bernasib baik untuk membawa pulang satu mata apabila seri 1-1 di St. James Park awal pagi semalam.
Rangnick, 63, sangat kecewa dengan reaksi anak-anak buahnya yang seakan-akan masih dalam mod ‘percutian’ selepas dua minggu tidak beraksi disebabkan dua perlawanan terdahulu ditangguhkan ekoran masalah Covid-19.
“Saya langsung tidak menggemari prestasi ini. Kami gagal menguasai keseluruhan permainan dan tewas dari segi tenaga, fizikal dan perebutan bola kedua.
“Bagusnya cuma kami dapat gol penyamaan untuk meraih satu mata, itu sahaja. Saya kecewa dan pemain sepatutnya sudah bersedia untuk memenangi perlawanan ini.
“Namun, gerak badan yang ditunjukkan para pemain sangat mengecewakan. Banyak juga kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan, malah saya sendiri tidak faham kenapa pemain bermain seperti ini,” katanya.
United harus berterima kasih kepada penyerang gantian, Edinson Cavani yang masuk menggantikan Mason Greenwood di awal babak kedua, apabila berjaya menyelamatkan maruah pasukan itu.
Cavani meledak gol penyamaan pada minit ke-71 untuk memadam jaringan awal pemain sayap lincah Newcastle, Allan Saint-Maximin.
Keputusan seri menyaksikan The Red Devils kekal di tangga ketujuh, ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tempat keempat, Arsenal. – AGENSI