MASALAH perubahan iklim bukanlah satu perkara baharu dan banyak kajian oleh saintis yang memberi amaran bahawa kesan perubahan iklim kini semakin buruk sekali gus mengundang bencana alam lebih kerap.
Malah, pada abad ke-21 ini kita sudah menyaksikan banyak bencana alam berlaku.
Kesan pemanasan global turut menyumbang kepada berlakunya taufan yang lebih kuat, hujan lebat luar biasa serta kepanasan yang melampau.
Bencana alam yang disebabkan oleh pengaruh cuaca ekstrem seperti banjir telah mendatangkan malapetaka di seluruh dunia.
Pensyarah di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Haliza Abdul Rahman berkata, berdasarkan kajian oleh sekumpulan saintis iklim mendapati perubahan ekstrem dalam pola cuaca seperti suhu, hujan dan kelembapan mungkin berpunca daripada perubahan iklim.
Menurutnya, pada pertengahan Julai lalu, barat Eropah dilanda banjir besar selepas hujan lebat melanda seluruh perkampungan hingga menyebabkan sekurang-kurangnya 209 orang mati di Jerman dan Belgium, selain puluhan lagi hilang.
“Banjir juga menyebabkan kerosakan di Luxembourg, Belanda dan Switzerland. China turut menerima nasib sama dengan kenderaan dihanyutkan air di pusat bandar Zhengzhou selain turut meragut
sekurang-kurangnya 33 nyawa.
“Kajian mendapati, jumlah purata hujan yang sepatutnya diterima dalam setahun turun sepenuhnya dalam tempoh tiga hari di bandar Zhengzhou menyebabkan air berlumpur memenuhi longkang sebelum melimpah ke jalanan, terowong dan laluan kereta api bawah tanah,” katanya kepada Infiniti.
Dalam pada itu, Malaysia turut tidak terlepas daripada dilanda bencana banjir besar tidak terduga terutamanya yang berlaku di Selangor baru-baru ini.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/12/sri-muda.jpg)
Haliza menegaskan, bencana banjir yang berlaku itu juga dimangkinkan oleh kesan perubahan iklim.
Menurutnya, hal ini kerana dua perkara utama akibat kesan perubahan iklim ialah kejadian banjir yang lebih ekstrem sama ada banjir daratan dari segi peningkatan jumlah dan intensiti serta kekerapan hujan dan banjir pantai yang diakibatkan oleh kenaikan aras laut yang turut menyebabkan penerobosan air masin ke daratan.
“Pertembungan dua senario tersebut memungkinkan kejadian banjir yang lebih buruk seperti bencana bah besar pada 2014 di negeri Pantai Timur terutamanya di Kelantan dan kini banjir terburuk dalam tempoh tujuh tahun di Selangor.
“Saintis juga menjangkakan kondisi ekstrem tersebut akan ‘semakin memburuk’ dalam tempoh 20 tahun ke hadapan. Hal ini membuktikan walaupun perubahan iklim berlaku tanpa disedari, kesannya dapat dilihat dengan mata kasar dalam kehidupan seharian termasuk kejadian banjir yang diakibatkan ketidaktentuan waktu hujan turun dan kadar taburan hujan pada sesuatu masa,” terangnya yang juga Ketua Laboratori Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan, Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM.
Selain itu, katanya, Malaysia telah memasuki fasa perubahan iklim yang semakin membimbangkan dan memerlukan tindakan segera semua pihak.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2021/12/coal_jon-macdougall-afp-getty-scaled-1.jpg)
Hakikatnya, ramai tidak menjangka banjir besar akan berlaku di Selangor kerana tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Lantaran itu ramai yang mengambil jalan mudah dengan mengatakan semuanya diakibatkan oleh perubahan iklim.
“Namun, banjir ekstrem tersebut tidak hanya disebabkan oleh pengaruh cuaca dan iklim semata-mata, tetapi juga akibat campur tangan keterlaluan manusia yang mengubah unsur iklim ke tahap yang ekstrem sehingga berpotensi mewujudkan dan memburukkan lagi kejadian bencana seperti banjir,” jelas Haliza
Proses pembandaran pesat dan padat menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan.
Kawasan-kawasan tanah rendah pula ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit.
Selain itu, katanya, terdapat juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan sehingga mengganggu aliran air.
Tambahnya, sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah di longkang dan parit serta sisa bahan binaan dan industri sehingga menyekat laluan air turut menyumbang kepada episod banjir kilat.