GEORGE TOWN – Seorang penghuni lelaki dilaporkan mengalami kecederaan pada beberapa anggota badan dan sesak nafas selepas kediaman yang dihuninya di Jalan Perak, Jelutong terbakar petang tadi.
Mangsa berusia dalam lingkungan 50-an yang belum dikenalpasti identiti itu dikatakan cedera pada kepala, kaki dan tangan dalam kejadian kebakaran berlaku kira-kira pukul 4.20 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’ Azelan Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.23 petang dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
Menurutnya, operasi tersebut turut mendapat bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru dan Bagan Jermal.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas C dengan anggaran kemusnahan 70 peratus dan telah dapat dikawal pada pukul 4.47 petang tadi.
“Kerja-kerja pemadaman masih dijalankan dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela berdekatan.
“Terdapat seorang mangsa mengalami kecederaan semasa menyelamatkan diri dan telah diberi rawatan awal oleh unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) sebelum dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.
Punca kebakaran berlaku dan kerugian masih dalam siasatan. – K! ONLINE