SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengumumkan pindaan tarikh permulaan sesi persekolahan penggal ketiga bagi sekolah agama yang dijadualkan 3 Januari kepada 10 Januari, tahun hadapan.
Pengarahnya, Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, pengumuman itu selaras dengan kenyataan akhbar Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 24 Disember lalu.
Katanya, pindaan itu berkait dengan kejadian banjir besar yang melanda negara khususnya di Selangor pada 18 Disember lalu.
“Banjir besar yang melanda negara khususnya Selangor telah mengakibatkan kemusnahan harta benda termasuklah sekolah-sekolah agama Islam di bawah kelolaan JAIS.
“Walau bagaimanapun, bagi sekolah-sekolah yang terjejas akibat banjir dan yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) boleh dipertimbangkan untuk menangguhkan sesi persekolahan dengan kelulusan jabatan ,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Menurut beliau, selaras dengan pindaan tarikh pengoperasian sekolah, pelaksanaan Ujian Kelayakan Khas (UKK) bagi pemilihan murid ke tingkatan satu Sekolah Agama Menengah (SAM), Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) dan Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) turut dipinda kepada 29 Januari tahun hadapan daripada ditetapkan sebelum ini pada 15 Januari.
Ujarnya, bagi pelaksanaan peperiksaan SMA, SMATQ dan SMATD adalah dikekalkan sebagaimana yang telah dijadualkan bermula 17 Januari nanti.
“Namun begitu tarikh pelaksanaan Kerja Kursus / Folio (Tilawah) dan Ujian Syafawi untuk SMA, SMATQ & SMATD yang dijadualkan pada 10 Januari hingga 11 Februari dipinda kepada 17 Januari hingga 18 Februari tahun hadapan,” jelasnya. – K! ONLINE